Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menjelaskan perubahan jadual separuh akhir Piala FA 2017 dari 28 dan 29 April ini kepada 30 April adalah atas faktor permintaan dua pasukan, Kedah dan Pahang.

Ketua Unit Pertandingan FMLLP, Mohd Shazli Shaik Mohd, mengakui anjakan tarikh perlawanan itu bukan sengaja dilakukan pihaknya tetapi oleh pasukan bertanding.

Jelasnya, Kedah pasukan terawal menghantar permohonan mahu aksi mereka ditangguh sehari kerana beraksi di laman lawan pada 26 April selain Pahang yang hanya sempat berehat 48 jam selepas aksi terakhir menentang Felda United.

"Kami ada menerima permohonan rasmi daripada Kedah. Memohon separuh akhir pertama bermain pada 30 April, dan kami juga ada menerima permohonan Pahang tetapi hanya secara lisan," jelasnya.

Jelas Shazli, sekiranya kedua-dua pasukan itu tidak melakukan permohonan, FMLLP akan mengekalkan tarikh perlawanan asal.

"Kalau melihat kepada panduan Liga Malaysia, minimum tempoh rehat adalah 48 jam. Jadi, jika mana-mana pasukan menerima tempoh rehat dua hari itu, maka kita tidak ada masalah untuk mengekalkan jadual."