Oleksandr Usyk berminat untuk berdepan Anthony Joshua atau Tyson Fury bagi mengakhiri dominasi petinju Great Britain dalam divisyen heavyweight.

Fury menyempurnakan kemenangan dalam pusingan ketujuh ke atas pakar pukulan knockout, Deontay Wilder, di Las Vegas bulan lalu untuk meraih gelaran WBC, manakala rakan senegaranya, Joshua, memegang tiga gelaran utama heavyweight selepas bangkit mengatasi Andy Ruiz Disember lalu.

Usyk, sama seperti Fury tidak pernah tewas dan memiliki pingat emas Sukan Olimpik London 2012 seperti Joshua, mula menempah nama dalam era profesional.

"Saya telah berusaha untuk sampai ke tahap ini," katanya kepada Sky Sports menjelang pertemuan dengan Dereck Chisora 23 Mei ini.

Perlawanan tersebut, termasuk aksi mandatori Joshua berdepan Kubrat Pulev di Stadium Tottenham Hotspur 20 Jun ini mungkin ditangguh ekoran pandemik Covid-19.

Promoter perlawanan Joshua, Eddie Hearn, minggu ini berkata pertarungan dengan Pulev yang ditangguhkan boleh membawa kepada pertarungan segera dengan Fury.

Usyk, yang berada di temptat kedua untuk mencabar Joshua, tidak terlalu peduli dengan komplikasi sedemikian.

"Saya mahu bertarung dengan kedua-dua petinju.

"Perkara terakhir yang mahu saya fikirkan adalah berdepan dengan siapa. Tiada ramalan."