Tyrell Malacia sudah pun terasa bahang pertembungan 'derby' Manchester sebaik Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung dua minggu lagi.

Pertahanan kiri berusia 23 tahun itu berharap dapat membantu Manchester United melakar kemenangan kelima liga berturut-turut apabila bertandang ke Stadium Etihad, 2 Oktober depan, dan Malacia sedar betapa pertemuan berkenaan amat bermakna, baik kepada pemain mahupun peminat.

"Saya telah bercakap dengan rakan sepasukan dan mereka memberitahu saya bahawa ia adalah perlawanan yang sangat hebat.

"Saya mendambakan perlawanan seperti ini, jadi saya perlu mengerahkan segala-galanya dan kami sebagai sebuah pasukan perlu mencurahkan segala-galanya.

"Ini perlawanan getir, berbeza dengan perlawanan lain jadi adalah penting untuk kami memastikan standard tinggi dalam setiap perlawanan," katanya yang sedang berlatih bersama Belanda untuk menghadapi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) minggu depan.

United bangkit daripada permulaan buruk dan Malacia antara tunjang kebangkitan untuk mereka mendaki tangga kelima EPL.





"Setiap perlawanan adalah sukar, setiap minggu adalah sukar -- tiada perlawanan mudah.

"(Selepas dibelasah Brentford) Kami banyak bercakap antara satu sama lain sebagai sebuah pasukan, kami berlatih dan hal pertama yang perlu kami lakukan ialah perkara asas iaitu bekerja keras.

"Di situlah semuanya bermula, anda telah melihatnya dalam perlawanan.

"Ia tidak selalunya menjadi permainan yang menarik tetapi kami bekerja keras dan itulah sebabnya kami terus memenangi perlawanan. Sekarang kami perlu menetapkan elemen berkenaan sebagai satu standard serta membangunkan penguasaan bola kami."