Ejen kepada Arda Turan menegaskan pemain tengah itu akan meneruskan khidmatnya bersama Barcelona sehingga kontraknya tamat pada 2020.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Barca dari Atletico Madrid pada Julai 2015. Namun, selepas kemunculannya tertangguh enam bulan ekoran gergasi Catalan itu dikenakan hukuman penggantungan menandatangani pemain, dia bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Arda menjaringkan 13 gol dalam 30 penampilan musim lalu, termasuk hatrik dalam Liga Juara-Juara Eropah ke atas Borussia Monchengladbach.

Masalah kecederaan juga antara punca dua kali dia terpaksa dipinggirkan.

Arsenal dikaitkan dengan khidmatnya, namun ejennya, Ahmet Bulut, kekal dengan pendirian bahawa pemain berkenaan mahu berjuang untuk mendapatkan tempat di bawah kendalian bos baru, Ernesto Valverde.

"Arda akan kekal di Barca," kata Bulut kepada NTV Spor, sebagai mengulangi pendiriannya pada bulan lalu.

"Kontraknya masih berbaki tiga tahun lagi.

"Dia akan menyertai kem latihan skuad pada 12 Julai ini. Tiada perkembangan baru mengenai hal ini."

Arda menggantung but dalam kancah antarabangsa bersama Turki selepas berbalah dengan wartawan.