Ketua pasukan Turki, Arda Turan, mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa ekoran perbalahan dengan wartawan.

Gara-gara peristiwa itu, pemain berusia 30 tahun itu dihalau daripada skuad itu dalam insiden yang berlaku ketika mereka berlepas pulang selepas seri 0-0 dengan Macedonia dalam aksi persahabatan.

Pemain tengah Barcelona itu dilaporkan berang dengan wartawan Milliyet, Bilal Mese, yang dibenarkan turut serta dalam penerbangan itu, selepas laporannya mendakwa penyingkiran Turki dalam kempen Euro 2016 didorong isu bonus di antara pemain dan Persekutuan Bolasepak Turki (TFF).

Turan yang didakwa marah dengan kritikan media pada tahun lalu berkenaan persembahan hambarnya dalam kempen di Perancis itu sehingga diketepikan dalam skuad pada Ogos lalu, terpaksa dileraikan selepas dia menarik Mese sambil menghamburkan kata-kata kesat.

Arda kemudian menggunakan Instagram peribadinya untuk menyatakan bahawa dia tidak dapat memaafkan wartawan itu kerana menuduhnya dan ahli keluarganya meskipun tidak menyatakan ucapannya semasa dalam perut pesawat.

Sehubungan itu, selepas satu mesyuarat diadakan dengan pegawai TFF, Turan mengesahkan dia tidak akan terbabit dengan aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Kosovo dan memutuskan untuk tidak lagi memberi komitmen kepada pasukan kebangsaannya.

"Saya berbincang dengan presiden TFF dan mengambil keputusan untuk tidak terbabit dengan perlawanan menentang Kosovo," katanya dalam sidang media.

"Saya telah melakukan perkara yang tidak sepatutnya semasa menyarung jersi kebangsaan.

"Saya mahu bersara daripada karier antarabangsa. Saya bercakap selaku seseorang yang mencurahkan bakti buat pasukan kebangsaan yang cintakan negaranya."

Turan kemudian melanjutkan isu itu dalam laman sosial, Instagram dengan menyatakan: "Adakah tindakan saya semalam betul? Saya tidak tahu!!!

"Mungkin ia tidak betul, tapi secara jujurnya, ia adalah tindakan yang mulia. Adakah saya mendapat jawapannya? Tidak. Dia menulisnya selama berbulan-bulan tetapi tidak bercakap apa pun ketika bersua dengan saya."