Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyatakan kesudian untuk membantu skuad kebangsaan sambil menegaskan tiada jalan pintas untuk kejayaan.

Skuad ketika ini kekurangan ciri kepimpinan dan ia juga antara aspek boleh dibantu untuk ditingkatkan sekiranya baginda dibenar mencemar duli menguruskan pasukan kebangsaan.

"Kepada Presiden FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), benarkan saya untuk mengendalikan pasukan negara. Saya akan berikan pusat latihan terbaik dan jurulatih. Saya tidak boleh menjanjikan kejayaan segera. Tetapi saya boleh janjikan penambahbaikan," titah baginda melalui akaun hrhcrownprinceofjohor di Instagram, sebentar tadi.

Harimau Malaya mengharungi kempen hambar dalam baki pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai hingga mengundang kritikan Tunku Ismail terhadap program naturalisasi badan induk bola sepak negara itu.

Dalam pertemuan dengan Vietnam dalam Kumpulan G, Jumaat lalu, pengendali negara, Tan Cheng Hoe, menyenaraikan 10 pemain JDT dalam kesebelasannya.

Baginda mempersoalkan 'jiwa' pemain yang diibaratkan pergi makan angin setiap kali melaporkan diri dalam skuad kebangsaan di sebalik diwakili ramai barisan Harimau Selatan sendiri selain kekurangan daripada ciri kepimpinan.

"Pada hari ini pergi menyertai pasukan kebangsaan tidak seperti ada tugasan atau misi lagi bagi sebahagian pemain. Ia seperti percutian musim panas. Sistem ini perlu diubah.

"Lepas ini naturalisasi jangan bagi sebarangan. Ia akan dikawal dan dianalisis oeh pasukan teknikal skuad kebangsaan. Sama ada pemain sesuai atau tidak dengan corak permainan kita," titah baginda.

Baginda menggariskan beberapa tindakan untuk memastikan pemain terus dahagakan kejayaan, sanggup bermatian-matian di atas padang walaupun sudah mengecapi 17 kejuaraan termasuk di pentas Asia, Piala AFC.

"Tahu apa perkara pertama saya lakukan di JDT? Saya kawal semua akses kepada pasukan. Daripada media, wartawan, syarikat, hingga penggunaan media sosial oleh pemain.

“Eksklusif sepenuhnya, ia akan membolehkan pemain untuk lebih fokus kepada tugasan mereka."