Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya mengumumkan kekal dengan keputusan untuk mengundurkan diri daripada jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika Kongres Kedua Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Forest City, Johor, hari ini.

Genap setahun selepas menduduki kerusi panas itu, baginda secara rasminya mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden FAM selepas mendapati dirinya gagal untuk menaikkan kedudukan skuad kebangsaan dalam ranking dunia sehingga meletakkan Harimau Malaya kini berada di tangga ke-178 -- yang terburuk dalam sejarah.

Perkhabaran itu bermakna Tunku Ismail akan meletakkan fokus penuh sebagai pengerusi FMLLP yang kini dikenali sebagai Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Saya tidak mahu membuang masa untuk berkhidmat buat kelompok yang boleh saya katakan tidak layak menerima layanan daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ) kerana saya tahu saya adalah individu yang terbaik untuk jawatan itu. Saya tahu apa yang saya lakukan. Saya membawa masuk wang.

"Jika membela seekor harimau, anda harus membelainya secara ke belakang kerana kalau dibelai ke depan, dia akan menunjukkan satu perwatakan berbeza. Itulah ceritanya.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang percaya kepada saya, penaja-penaja serta semua pasukan yang bertanding. Di sini adalah surat peletakan jawatan saya sebagai presiden FAM. Terima kasih bola sepak Malaysia, selamat tinggal," kata Tunku Ismail.

"MFL kini bebas dan tidak perlu mengikut keputusan FAM. Tanggungjawab kami adalah menjaga kebajikan liga serta semua amanah daripada pihak penaja yang diberikan kepada saya. Sebab itu saya berada di sini, untuk menjaga kebajikan semua kelab dan pasukan.

"Segala perkara berkaitan pasukan negara, saya rasa penyokong-penyokong harus menjaganya dan selamat maju jaya buat FAM."