Tunisia telah tersingkir daripada Piala Dunia tetapi negara Afrika itu masih memiliki misi untuk menamatkan kemarau 40 tahun dalam aksi terakhir berdepan Panama pada awal pagi Jumaat ini.

Kekalahan berturut-turut kepada Belgium (5-2) dan England (2-1) menyaksikan Tunisia tersingkir awal daripada Kumpulan G bersama-sama dengan Panama.

Tunisia tanpa sebarang kemenangan dalam 13 perlawanan Piala Dunia, empat seri dan sembilan tewas, sejak membuat penampilan pertama pada 1978 berdepan Mexico.

Hamdi Nagguez mendedahkan Tunisia masih lagi meletakkan harapan untuk menamatkan kemarau itu dalam saingan edisi kali ini di Saransk.

"Kami bermain berdepan dua pasukan yang jauh lebih baik berbanding kami, kami berada dalam kumpulan yang sukar," kata Nagguez.

"Kini, kami meletakkan fokus dan mahu mencipta kemenangan berdepan Panama dan menamatkan kemarau 40 tahun tanpa menang dalam Piala Dunia," katanya.

Pendatang baru, Panama, juga sedang membuat persiapan selepas tewas 6-1 kepada England dalam aksi terdahulu.

Ia merupakan satu pengalaman baru buat mereka, yang menafikan slot buat Amerika Syarikat ke Piala Dunia, dan ketua jurulatih, Hernan Dario Gomez, gembira dengan pengalaman itu.

"Saya perlu menghadapi dua pasukan gergasi. Tetapi ia adalah satu pengalaman yang bagus dan mengetahui di mana tahap pasukan anda," katanya.

"Banyak pasukan berkualiti bersaing dalam Piala Dunia, kecergasan fizikal, taktikal dan teknikal yang sangat baik, tekanan serta organisasi di atas padang yang jauh lebih baik berbanding kami."

Pemain tumpuan

Panama – Felipe Baloy


Nama Felipe Baloy akan terpahat dalam kenangan penyokong Panama kerana menjaringkan gol pertama pasukan dalam Piala Dunia ketika dia berusia 37 tahun dan 120 hari. Pemain veteran itu bakal menambah koleksi jaringan ketika berdepan Tunisia.

Tunisia – Wahbi Khazri

Tiada pemain yang lebih berpengaruh buat Tunisia dalam Piala Dunia jika dibandingkan dengan Wahbi Khazri (dua), yang menjaringkan gol serta melakukan bantuan jaringan ketika tewas kepada Belgium.