Pertahanan Brazil, Thiago Silva, berkata tumpuan lebih yang diberikan pertahanan lawan kepada Neymar dalam saingan Piala Dunia adalah perkara biasa kerana kemahiran yang dimiliki membuatkan diasukar dihalang.

Neymar, yang kembali beraksi bulan lalu selepas mengalami kecederaan patah tulang metatarsal pada Februari lalu, semakin hampir mencapai tahap terbaiknya ketika Brazil mengatasi Mexico 2-0 malam tadi untuk mara ke suku akhir.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, membintangi setiap aksi di Russia, sama ada menjaringkan gol atau menjadi pemain yang melakukan bantuan jaringan bagi memastikan Brazil meledak gol.

Tetapi, dia turut menerima kritikan daripada pengendali Mexico, Juan Carlos Osorio, yang menganggap Neymar gemar "berlakon" ketika Miguel Layun memijak buku lalinya.

Bagaimanapun, Silva percaya layanan yang kurang senang bukanlah sesuatu yang baru buat Neymar.

"Ia adalah sesuatu yang biasa kerana Neymar pemain yang memiliki banyak kualiti," kata Silva.

"Pemain-pemain yang cuba menghalangnya akan melakukan kekasaran kerana sukar untuk memintas pergerakannya."

Brazil seterusnya akan erdepan rintangan suku akhir daripada Belgium, yang bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Jepun 3-2 menerusi jaringan dalam masa kecederaan daripada Nacer Chadli.

Silva mengenali bakat yang dimiliki oleh skuad kendalian Roberto Martinez itu tetapi yakin Brazil adalah pasuka pilihan di sebalik kebolehan yang dimiliki lawan.

"Mereka adalah pasukan yang sangat berkualiti daripada segi fizikal dan teknikal. Belgium berhak melepasi pusingan kalah mati," katanya.

"Saya berasakan dalam semua kejohanan, Brazil adalah pasukan pilihan tetapi kami mengetahui ia tidak mencukupi.

"Kami perlu bekerja keras dan mempamerkan persembahan terbaik jika mahu menjulang Piala Dunia. Kami akan terus bekerja dan berehat secukupnya kerana aksi seterusnya merupakan satu pertembungan yang sukar," ujarnya.