Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, mahu terus fokus dalam meningkatkan semangat barisan pemain dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia 2021.

Skuad Harimau Selatan memeriahkan lagi sambutan kejuaraan Liga Super 2021 kali kelapan selepas menewaskan Kuala Lumpur City 2-1.

Bagi jurulatih dari Mexico itu, ia bukan mudah untuk meletakkan JDT berada di tahap sekarang selain sudah mempunyai beberapa perancangan dalam menambah baik kualiti pemain.

"Tiada perancangan lain, hanya menang, menang dalam setiap perlawanan dan memperbaiki kemampuan pasukan dalam saingan Piala Malaysia kali ini," kata Mora.

Sementara itu, pengendali KL City, Bojan Hodak, menjelaskan masalah komunikasi jadi faktor skuad The City Boys tidak berjaya meneruskan rentak 11 perlawanan tanpa kalah selepas jaringan sendiri Nik Shahrul Azim pada minit ke-70 memberi kelebihan kepada JDT.

Bojan tidak mempunyai ramai pilihan untuk diturunkan dalam aksi penutup Liga Super itu namun masih berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjaya memberi saingan sengit sebelum minit ke-70.

Jurulatih dari Croatia itu mengambil risiko dengan membawa masuk beberapa pemain yang alami kecederaan ringan pada 30 minit terakhir perlawanan, namun ia tidak dapat mengubah sebarang keputusan.

"Masalah komunikasi masih sesuatu yang diperbaiki. Kami kecewa kerana mahu mendapatkan satu mata dalam perlawanan ini. Ternyata KL City merupakan pasukan yang memiliki perbelanjaan yang lebih kecil dan kami telah berusaha untuk memberikan saingan, ia akan melonjakkan semangat pasukan dalam Piala Malaysia nanti," katanya.