Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee, memberi tugasan baru untuk skuad B-19 tahun negara.

Selepas hasrat untuk melihat barisan itu layak ke Piala Dunia B-20 tidak terlaksana, tanggungjawab membawa dua edisi Sukan SEA Vietnam 2021 dan Kemboja 2023 diserah kepada skuad ini.

Ini sebagai pendedahan terbaik untuk mereka kerana sasaran sebenar bagi saingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris.

"Berdasarkan perancangan FAM, skuad ini akan menempuhi dua kitaran saingan Sukan SEA dan dua saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23. Matlamat kami bukanlah mengejar kejayaan tetapi memastikan pengalaman yang diperoleh bagi mencapai sasaran utama di Kemboja 2023," kata Kim Swee.

Selain daripada barisan asal yang dimiliki Brad Maloney, barisan pemain dari skuad projek FAM-MSN kendalian Yusri Che Lah juga bakal digabungkan bergantung kepada keperluan jurulatih yang akan dilantik.

"Kami mempunyai jangka masa panjang sebelum saingan kelayakan Sukan Olimpik dan kami memiliki masa bagi membuat persiapan yang rapi."

Skuad B-19 tahun kembali miliki objektif bagi tempoh tiga-empat tahun mencipta sejarah baru untuk negara.