Calon naib presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Astaman Abdul Aziz, menegaskan kemunculan semulanya untuk merebut jawatan itu adalah demi bola sepak negara dengan fokus utama mahu meningkatkan mutu pengadilan di Malaysia.

Astaman memegang jawatan ahli eksekutif bagi penggal 2010 hingga 2014 dan bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengadil dalam tempoh itu.

Tetapi, bekas presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) itu gagal mempertahankan jawatannya pada Pemilihan Kongres FAM ke-50 untuk penggal 2014 hingga 2018.

Pun begitu, tiada istilah putus asa dalam kamus dirinya, Astaman kembali merebut satu daripada empat kerusi yang dipertandingkan bagi jawatan naib presiden FAM dalam kongres badan induk itu pada 25 Mac ini.

"Saya berasakan satu penggal dalam FAM itu, kerja saya masih tidak selesai," katanya. "Jadi, saya fikir mungkin jika diberikan peluang sekali lagi, kalau dapat meyakinkan rakan-rakan, saya ada niat untuk mengembalikan kegemilangan FAM."

Astaman, yang juga Timbalan Presiden KLFA mengakui hasratnya untuk kembali berada dalam kepimpinan FAM adalah kerana mahu meletakkan pengadil di Malaysia ke satu tahap tertinggi.

"Kami mesti memberi satu perancangan untuk menarik individu yang betul-betul berminat menjadi pengadil. Kami juga mesti memastikan program-program teknikal untuk meningkatkan mutu pengadilan.

"Kami perlu ada sasaran, kalau pengadil, mungkin ada wakil kita dalam Piala Dunia. Mungkin (Piala Dunia 2018) Moscow agak terlewat, tetapi kita boleh membuat perancangan (Piala Dunia 2022) di Qatar."