Perak berlepas ke Kuala Terengganu hari ini dengan menyedari tugas berat yang menantinya dalam perlawanan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berkata pertemuan itu pasti tidak mudah kerana ia pentas tuan rumah untuk menebus kehampaan tewas dalam final Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu.

Dalam perlawanan itu, Terengganu tumpas 1-4 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 2-2.

"Sudah tentu mereka mahu tebus kekecewaan dalam perlawanan itu.

"Oleh yang demikian, kami akan menghadapi tugas berat dalam perlawanan itu nanti.

"Tambahan pula, kami tidak akan dapat menurunkan beberapa pemain kerana kecederaan," katanya.

Berikutan itu, Durakovic berharap pemain Perak bersedia untuk mengharungi pelbagai kesukaran dalam perlawanan itu.

"Saya harap pemain bermain mengikut kemampuan mereka.

"Lebih penting lagi, pemain perlu sudahkan peluang yang dicipta.

"Kami mencipta banyak peluang, malangnya tiada penyudah," ujarnya.