Perancang tengah Terengganu, Lee Andrew Tuck, mengakui 'ghairah' untuk memperagakan aksi pertamanya musim ini tatkala kapten Pahang, Matthew Davies, mahu memastikan kemenangan buat Tok Gajah bagi aksi sulung di laman sendiri musim ini.

Tuck terlepas aksi pertama Liga Super setelah terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan kerana mengutip kad merah dalam aksi final Piala Malaysia musim lalu.

Ketiadaan pemain berdarah campuran Malaysia-England itu jelas dirasai skuad Peteh apabila mereka diikat seri 1-1 oleh PKNS FC dalam aksi di laman sendiri itu.

Begitupun, kehadirannya untuk pertemuan menentang Pahang membangkitkan semula semangat pasukan Terengganu dengan pemain itu bertekad membantu pasukannya meraih keputusan positif.

"Saya memiliki pengalaman berdepan Pahang. Tiada perkara yang baru buat saya dan tumpuan harus diberikan dan berharap untuk meraih kemenangan," katanya.

Skuad Peteh bagaimanapun diramal berdepan ranjau untuk membawa pulang mata susulan skuad Tok Gajah tampil menyerlah dalam perlawanan pertama bertemu Kuala Lumpur tempoh hari.

Mudah merakam kemenangan 3-1 ke atas lawan, keyakinan pemain Pahang kini cukup tinggi, apatah lagi mereka akan membuat penampilan pertama di Stadium Darulmakmur, malam ini.

"Kami akan cuba meneruskan momentum selepas berdepan Kuala Lumpur. Kami dibarisi skuad yang berkualiti. Saya berasakan jentera tengah dan pertahanan berada pada tahap terbaik," kata kapten Pahang, Matthew Davies.