Penyerang Terengganu, Lee Tuck, tidak menjamin untuk mengulangi prestasi cemerlang mencipta dua gol ketika Terengganu membenam Selangor 4-1 dalam saingan Liga Super, namun menegaskan slot suku akhir adalah sasaran utama apabila kedua-dua pasukan melakukan perhitungan pusingan ketiga Piala FA, malam ini.

Kedua-dua pasukan bakal melakukan perhitungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tatkala Selangor sudah pasti tidak mahu aib yang sama berulang.

Bagaimanapun, Tuck menyifatkan Terengganu berada pada prestasi terbaik untuk meneruskan kemaraan dan kejayaan meraih mata penuh ketika aksi liga sebelum ini merupakan motivasi terbaik skuad Penyu ketika ini.

Secara peribadi, sudah pasti jaringan menjadi sasaran setiap pemain, namun dia tidak mahu bersikap pentingkan diri dengan menetapkan kejayaan pasukan adalah keutamaan.

"Saya harap dapat beraksi baik seperti sebelum ini. Mungkin sukar untuk saya mengulangi jaringan sama kerana ia sangat istimewa tetapi saya hanya fokus untuk meraih kemenangan," katanya.

Tuck juga berpendapat Selangor tetap pasukan yang berbahaya walaupun mereka bakal bertandang ke Kuala Terengganu tanpa ketua jurulatih susulan P. Maniam direhatkan.

Baginya, anak didik Irfan Bakti Abu Salim harus meletakkan fokus dalam mengurangkan kesilapan.

"Mereka bertukar jurulatih, jadi ada sesuatu yang mereka akan cuba buktikan.

"Saya tidak pasti sama ada ia keputusan baik atau buruk buat Selangor tetapi apa yang pasti, mereka tentu mahu mendapatkan keputusan positif," ujarnya.