PSG 3 DIJON 0

Ketua jurulatih Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel, mencabar Leandro Paredes untuk beraksi konsisten selepas pasukannya memaparkan aksi tidak menentu ketika menewaskan Dijon 3-0 dalam suku akhir Coupe de France di Parc des Princes, awal pagi tadi.


PSG mudah melangkah ke separuh akhir susulan jaringan berganda Angel Di Maria dan gol lewat permainan Thomas Meunier.

Paredes mencuri tumpuan dalam babak pertama ketika PSG mendominasi perlawanan dengan peranan yang turut dimainkan Di Maria dan Julian Draxler.

Bagaimanapun, Paredes bergelut untuk mengekalkan prestasi itu dalam babak berikutnya dan keadaan itu mendapat perhatian Tuchel yang mahukan pemain yang baru ditandatangani pasukannya itu untuk memaparkan peningkatan.

"Dia beraksi dengan amat baik dalam babak pertama seperti mana seluruh pasukan ini beraksi.

"Dalam babak kedua, posisinya terlalu ke dalam.

"Dia seorang pemain yang mampu melakukan hantaran yang diperlukan dengan cepat.

"Itu adalah tugasnya untuk menetapkan rentak dan melajukan permainan," katanya.

Paredes bukan pemain tunggal yang mengendurkan perlawanan dalam babak kedua.

Situasi itu mendatangkan cemas buat Tuchel walaupun PSG mengekalkan penguasaan mereka.

"Saya gemarkan aksi kami dalam babak pertama. Kepantasan dan penguasaan kami.

"Perlawanan ini agak terbuka bagi saya.

"Ia amat mencemaskan. Saya perlu katakan Dijon bermain dengan amat baik.

"Mereka amat mengagumkan, mereka bermain dengan keberanian yang tinggi," tambahnya.