Thomas Tuchel berkata kepada pemain Chelsea bahawa mereka tiada masa untuk keraian jika menewaskan Leicester City dalam final Piala FA kerana mereka perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi satu lagi perlawanan penting menentang lawan sama tidak lama selepas itu.

The Blues berpeluang untuk melengkapkan kebangkitan mereka di bawah kendalian Tuchel dengan julangan piala menjelang aksi final di Wembley awal pagi esok.

Bagaimanapun, kekalahan 0-1 kepada Arsenal pertengahan minggu ini telah meletakkan harapan mereka untuk menamatkan musim ini di kedudukan empat teratas kian rapuh.

Mereka tergelincir satu kedudukan di bawah Leicester untuk kini berada di tangga keempat sambil Liverpool mungkin hanya ketinggalan satu mata di belakang mereka menjelang perlawanan dengan skuad Brendan Rodgers berkenaan.

"Tiada sebarang keraian, ia tiada dalam perancangan kami. Ini waktu yang penting," kata Tuchel kepada wartawan.

"Jika kami menang, tiada sebarang perancangan. Ia terlalu hampir menjelang perlawanan seterusnya Selasa depan.

"Situasi dalam liga tidak membenarkan kami untuk meraikannya. Kami mempunyai dua aksi final yang sedang menanti dan kami mahu memenangi kedua-duanya.

"Esok akan memberikan impak yang besar daripada segi fizikal dan kami perlu bersedia pada hujung minggu ini untuk melakukan pemulihan dengan sebaik mungkin kerana pada Isnin depan, kami perlu bersiap untuk perlawanan seterusnya.

"Jika ada sebarang keraian, kami perlu menundanya sedikit ke depan," katanya.