MALMO 0 CHELSEA 1

Thomas Tuchel mahu melihat lebih banyak peningkatan daripada Hakim Ziyech walaupun pemain antarabangsa Maghribi itu memastikan kemenangan 1-0 Chelsea ke atas Malmo, awal pagi tadi.


Selepas buntu dalam separuh masa pertama pertemuan Liga Juara-Juara (UCL) di Eleda Stadion itu, juara bertahan berkenaan akhirnya merobek gawang lawan sebaik minit ke-11 permainan bersambung yang menyaksikan Ziyech menyempurnakan umpanan Callum Hudson-Odoi.

Ia adalah gol pertama Ziyech sejak Piala Super UEFA menentang Villarreal pada Ogos lalu dan jaringan ketiganya dalam UCL sepanjang memperkuatkan The Blues dalam 13 penampilan.

Pemain berusia 28 tahun itu memperagakan prestasi mengagumkan di Sweden dengan tiga percubaan tepat ke sasaran selain mencipta lima peluang terbuka berbanding pemain lain di atas padang untuk barisan kendalian Tuchel tersebut memerlukan satu mata lagi bagi menjamin tempat ke pusingan 16.

Jaringannya itu juga hadir selepas dia bertukar posisi dari bahagian sayap dengan Hudson-Odoi yang memerangkap pertahanan Malmo dengan kepantasan dan hantaran kaki kanannya.

Lantas, Tuchel yang tidak mahu dipuji atas perubahan taktikal itu menuntut Ziyech agar lebih jitu dalam membuat keputusan terakhirnya.




"Segala penghargaan perlu diberikan kepada pembantu saya. Dia menyalurkan idea ini ketika rehat," kata pengendali kelahiran Jerman itu.

"Namun, saya rasa masih ada ruang untuk Ziyech memperbaiki sentuhannya dalam membuat keputusan terakhir. Kami sentiasa bergantung kepadanya ketika menguasai bola. Ia juga sebahagian besar daripada persembahannya. Dia masih boleh menjadi lebih klinikal.

"Dia masih belum mencapai tahap 100 peratus seperti yang diharapkan. Pemain-pemain menyukai kebebasan untuk bergerak jadi saya gembira buat dirinya dan juga Callum."

Chelsea akan menuju perlawanan kelima menentang Juventus dengan menyedari keputusan seri sudah memadai untuk layak.

“Kami memerlukan keputusan, kami menjangkakan satu keputusan positif, kami mencapainya,” kata Tuchel yang pasukannya menewaskan Malmo 4-0 di Stamford Bridge dalam perlawanan ketiga.

"Kami mempunyai banyak sentuhan tetapi mungkin belum cukup klinikal. Kami mahu meningkatkan tahap keamatan dalam separuh masa kedua. Kami perlu menggunakan detik dan kedudukan tertentu dengan lebih klinikal di depan pintu gol, barulah kami lebih berpeluang untuk mencetak jaringan kedua.

"Kami menguasai permainan. Kami tidak berdepan situasi sukar di dalam kotak penalti sendiri, kami langsung tidak hilang tumpuan."