Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, mendedahkan pemain tengah, Marco Verratti, mengalami masalah kecederaan terbaru, sekali gus memberi tamparan buat juara bertahan Ligue 1 itu.

Verratti, 26, kembali menyertai sesi latihan Isnin lalu selepas berehat akibat masalah kecederaan buku lali sejak bulan lalu.

Ia memberi suntikan semangat buat PSG yang telah pun kehilangan khidmat Neymar sehingga April depan dan bakal berdepan Manchester United dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah minggu depan.

Namun, selepas Verratti terlepas masa tambahan ketika menundukkan Villefranche dalam aksi Piala Perancis awal pagi tadi, Tuchel mendedahkan pemain tengah itu mengalami kecederaan terbaru.

"Verratti tidak dapat menamatkan sesi latihan kelmarin. Dia mengalami masalah," kata Tuchel.

"Saya perlu menunggu sehingga hari ini untuk membuat keputusan sama ada dia akan beraksi menentang Bordeaux.

"Masalah terbarunya itu merupakan perkara berbeza, jadi saya tidak tahu tahap kecederaan itu."

Dalam perlawanan awal pagi tadi, PSG diheret ke masa tambahan sebelum berupaya menundukkan Villefranche 3-0 menerusi jaringan Julian Draxler, Moussa Diaby dan Edinson Cavani.

Skuad bimbingan Tuchel itu bakal melayan kunjungan Bordeaux, Sabtu ini sebelum melakukan kunjungan ke Old Trafford untuk aksi pertama menentang United tiga hari kemudian.