Thomas Tuchel memuji sikap yang dipamerkan oleh Paris Saint-Germain (PSG) selepas juara Ligue 1 memastikan kemenangan 1-0 ke atas Saint-Etienne, awal pagi tadi.

PSG melaungkan amaran kepada pencabar saingan Liga Juara-Juara (UCL) selepas mengatasi Manchester United 2-0 dalam aksi pertama pusingan 16 di Old Trafford, Rabu lalu, tanpa kelibat Neymar dan Edinson Cavani.

Seperti apa yang dilakukan pada pertengahan minggu, Kylian Mbappe sekali lagi bertindak cemerlang ketika perlawanan berbaki 17 minit di Stade Geoffroy-Guichard dengan melepaskan rembatan voli yang memastikan kemenangan buat PSG.

"Saya sangat gembira kerana dia bermain dengan baik walaupun menghadapi kesukaran mengatasi Saint-Etienne," kata Tuchel.

"Pasukan saya memiliki kekuatan mental yang sangat tinggi. Kami menghadapi setiap halangan dengan baik.

"Kami mengakui ia merupakan perlawanan yang sukar.

"Kami perlu lebih bersabar, ia kemenangan yang berhak diraih.

"Mbappe telah membuktikan kebolehannya setiap hari dalam sesi latihan. Dia memiliki keinginan untuk menjaringkan gol setiap masa.

"Ia merupakan kualitinya -- seorang pemain yang istimewa."