Tuchel: Neymar kini lebih tenang

Shaiful Shamsudin
Mac 4, 2020 01:35 MYT
Thomas Tuchel bergantung harap kepada Neymar menjelang fasa penting musim ini dan percaya pemain itu kini bersikap lebih tenang sejak mengkritik pendekatan Paris Saint-Germain (PSG) terhadapnya sebelum kekalahan kepada Borussia Dortmund yang lalu.
Neymar membidas kelabnya itu ekoran tidak menurunkannya dalam empat perlawanan sebelum kunjungan ke Jerman atas tujuan menghadkan risiko kecederaannya.
Pemain Brazil itu menegaskan keputusan berkenaan tiada kena mengena dengannya sambil menuding ke arah kelab dan pasukan perubatan kerana menganggap dia dalam keadaan yang cukup baik untuk beraksi.
Setelah menjalani penggantungan satu perlawanan ketika PSG membelasah Dijon 4-0 Sabtu lalu, Neymar dijangka kembali untuk menghadapi Lyon dalam perlawanan separuh akhir Coupe de France awal pagi esok.

Neymar (PSG) showboat skill vs Bordeaux, Ligue 1 (23/02/2020) ⭐️⭐️⭐️⭐️#4star #skill #PSG #Neymar pic.twitter.com/3KfhR4GlOj

— artyfootyskills (@artyfootyskills) February 29, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tuchel percaya anak buahnya itu semakin berlembut terhadap kelabnya dan pengurus berbangsa Jerman tersebut menaruh harapan tinggi terhadap penggempur berkenaan menjelang fasa kritikal ini memandangkan mereka akan kembali berhitung dengan Dortmund bagi pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), minggu depan, selepas tewas 1-2 di Signal Iduna Park.
"Dia (Neymar) kini lebih tenang," kata Tuchel semalam.
"Di Bordeaux, dia mengharungi perlawanan yang baik malangnya dilayangkan kad merah, ia tidak bagus tetapi itulah yang terjadi.
"Saya berpendapat dia kini lebih tenang. Dia bersedia untuk perlawanan esok, dia akan bermain, ia satu keperluan.
"Perkara paling penting ialah dia dapat diturunkan, dia bersama kami dalam fasa ini. Saya gembira untuk mempertaruhkannya di Lyon.
"Naluri saya mengatakan dia sudah benar-benar bersedia, lebih tenang, lebih yakin dan dia telah menemui rentaknya."
#Neymar #PSG #Thomas Tuchel #Paris Saint-Germain