Thomas Tuchel yakin Neymar "gembira" dan mahu menjadi pemimpin di Paris Saint-Germain (PSG).

Neymar menyertai PSG daripada Barcelon pada 2017 dengan rekod yuran perpindahan EURO222 juta (RM1.1 bilion), tawaran yang telah mengejutkan dunia bola sepak selepas kelab Ligue 1 itu mengaktifkan klausa perpindahan pemain kelahiran Brazil itu.

Sepanjang tempoh Neymar bersama PSG, dia sering diselubungi laporan bakal kembali ke Sepanyol, dengan Real Madrid menyatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebelum Cristiano Ronaldo berhijrah ke Juventus.

Khabar angin itu kemudian lenyap selepas Barca dalam perancangan untuk membawa Neymar semula ke Nou Camp sementara bintang Brazil itu turut meluahkan minatnya untuk kembali bersama The Catalans.

Bagaimanapun, Tuchel yakin bahawa Neymar –- yang kembali membantu pasukan melakar kemenangan 4-0 ke atas Pontivy dalam saingan Coupe de France -- meletakkan tumpuan sepenuhnya untuk mengetuai PSG.

Bercakap sebelum berdepan Guingamp dalam saingan Coupe de la Ligue, Tuchel berkata, "Saya berasakan Neymar seorang yang profesional.

"Saya berasakan dia selesa di sini, di dalam bilik persalinan mahupun di atas padang.

"Kami sangat berpuas hati dengan apa yang ditampilkan Neymar dalam sesi latihan mahupun ketika beraksi. Saya menyedari dia mahu menunjukkan kebolehannya mengetuai PSG dan ia merupakan satu perkara positif buat kami kerana dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia."