Tuchel mahu turunkan Mbappe

Penulis Jemputan
Oktober 27, 2019 06:02 MYT
Thomas Tuchel mahu menurunkan Kylian Mbappe dalam aksi Paris Saint-Germain (PSG) berdepan Marseille hari ini tetapi enggan mengesahkan sama ada penyerang itu cergas sepenuhnya untuk perlawanan La Classique.
Mbappe tidak turun beraksi sejak PSG menewaskan Toulouse 4-0, Ogos lalu, dengan Tuchel mengambil keputusan untuk merehatkan pemain itu supaya kembali pulih daripada kecederaan otot yang dialami sebelum ini.
Tetapi pemain berusia 20 tahun itu hadir sebagai pemain gantian ketika PSG membelasah Club Brugge 5-0, diikuti dengan jaringan ketika membantu pasukan mengatasi Nice 4-1. Ia telah meningkatkan tekanan kepada Tuchel untuk membuat keputusan bagi menurunkan Mbappe dalam kesebelasan utama.
"Saya tidak akan memberitahu anda sama ada dia akan tampil dalam kesebelasan utama," kata Tuchel. "Saya masih belum bercakap dengannya sejak Selasa.
"Kami bercakap di padang, ia satu perbincangan biasa. Ya, kami mengadakan mesyuarat ketika di Bruges, tetapi itu sahaja. Dia tidak boleh beraksi lebih daripad 50 atau 60 minit, bergantung kepada intensiti permainan.
"Kami akan membuat keputusan sebelum perlawanan berdepan Marseille. Semua orang mengetahui saya mahu menurunkan Mbappe."
Tuchel turut ditekan mengenai maklumat tahap kecergasan Neymar yang terlepas aksi berdepan Brugge ekoran kecederaan hamstring.
Bintang PSG itu mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Brazil berdepan Nigeria, perlawanan yang berakhir 1-1, dan Neymar telah diketepikan apabila skuad kebangsaannya berdepan Argentina dan Korea Selatan, bulan depan.
Tuchel menepis soalan itu dengan berkata, "Saya perlu membuat persiapan pasukan saya dan Brazil melakukan perkara yang sama.
"Kami memiliki sasaran yang berbeza. Ia merupakan perbincangan di antara kelab dan pasukan Brazil.
"Kami akan cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan tahap kecergasannya."