Thomas Tuchel mengakui bahawa rakaman perkelahiannya dengan Antonio Conte merupakan sesuatu yang lucu tetapi menegaskan kesilapan pengadil yang mengakibatkan Chelsea hilang kemenangan ke atas Tottenham bukanlah sesuatu yang kelakar.

Aksi 'Derby London' hujung minggu lalu berakhir dengan suasana penuh emosi sehingga pengurus kedua-dua pasukan itu dilayangkan kad merah selepas wisel penamat.

Ketegangan di antara mereka memuncak apabila Tuchel enggan melepaskan tangan Conte sewaktu bersalaman kerana pengurus dari Itali itu enggan melihat wajahnya.

Ia mencetuskan perkelahian sesama mereka sehingga terpaksa dileraikan pegawai pasukan masing-masing sebelum pengadil, Anthony Taylor, melayangkan kad merah buat kedua-duanya.

Persatuan Bolasepak England (FA) kemudian mendakwa Tuchel dan Conte atas insiden itu tetapi Tuchel mengakui terdapat beberapa elemen komedi mengenai keseluruhan episod berkenaan, yang telah menjadi bahan persendaan di Internet.

"Sudah pasti kami ketawa, amat penting untuk mentertawakan diri anda sendiri," kata pengurus Chelsea berbangsa Jerman itu.

"Saya ketawa dalam bilik persalinan. Ia kehangatan perlawanan dan bagi saya, ia tidaklah seburuk itu. Ia cuma satu salam yang agak lama dan keras. Saya mengakuinya tetapi setidak-tidaknya tiada sebarang mudarat daripada pihak saya.

"Perkara itu akan selesai dengan amat-amat pantas jika tiada 20 orang di belakang kami yang membuatkan ia kelihatan lebih buruk. Sudah pasti saya mentertawakan diri saya sendiri.

"Saya harap mereka (FA) tidak membesar-besarkan perkara itu. Ia tiada apa-apa buat saya. Saya amat menghormatinya dan ia tidak akan berubah disebabkan insiden itu," katanya.

Apa yang kekal mengganggu Tuchel adalah kegagalan Taylor dan pegawai video bantuan pengadil (VAR), Mike Dean, mengesan kekasaran terhadap pertahanan Chelsea, Marc Cucurella, tidak lama sebelum Tottenham mendapatkan gol penyamaan bagi mengikat kedudukan 2-2 di Stamford Bridge.

Pertahanan Tottenham, Christian Romero, dilihat menarik rambut Cucurella sehingga terbaring ke tanah dan perlawanan dihentikan seketika untuk semakan VAR tetapi Dean memilih untuk tidak mengarahkan Taylor melakukan semakan di monitor tepi padang dan perlawanan itu diteruskan.

Dean kemudian memohon maaf atas kesilapannya tetapi Tuchel berkata: "Jika kesilapannya sebesar itu dan amat jelas, apa gunanya untuk dia tidak mengakuinya jika seluruh dunia dapat melihatnya.

"Saya agak bergelut untuk berasa tertarik dengan kenyataannya, saya perlu katakan seperti itu.

"Ia amat jelas dan ketara, saya masih tidak faham bagaimana pengadil tidak boleh melakukan keputusan yang tepat," katanya lagi.