Pengendali Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, mengkritik anak buahnya yang kerap kali mensia-siakan peluang ketika terpaksa menempuh aksi hambar sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas Werder Bremen.

Andre Schurrle membuka tirai jaringan seawal minit kelima buat Dortmund sebelum penjaga gol Bremen, Jaroslav Drobny, dibuang padang pada minit ke-38 gara-gara mengasari Marco Reus.

Meskipun mendahului perlawanan dan berkelebihan seorang pemain, Bremen masih mampu meledak gol penyamaan menerusi Fin Bartels sebelum akhirnya rebah kepada gol kemenangan Lukasz Piszczek pada minit ke-71.

Kemenangan pertama selepas empat perlawanan itu melonjakkan Dortmund ke kelompok empat teratas liga, namun anak buah Tuchel masih ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Bayern Munich.

Tuchel memberitahu Sky: "Kami bermula dengan baik, namun terlepas peluang dalam tempoh 15 minit pertama untuk menjaringkan gol kedua.

"Kemudian kami membenarkan Bremen meledak gol penyamaan. Perlawanan berlangsung terlalu terbuka.

"Kami terlepas beberapa peluang dan beraksi hambar sepanjang perlawanan dan itu menyakitkan hati saya."

Kemenangan itu hadir tanpa kelibat penyerang sensasi, Pierre-Emerick Aubameyang, yang beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).