Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel telah mendedahkan masalah sakit gigi adalah sebab di sebalik ketiadaan Mason Mount baru-baru ini ketika pemain tengah itu mengintai peluang untuk kembali beraksi bertemu Burnley.

Mount terlepas dua perlawanan terakhir, yang menentang Newcastle United dalam Liga Perdana dan Malmo dalam Liga Juara-Juara, kerana sakit.

Tuchel telah menghuraikan apa yang menyebabkan masalah itu dan turut membincangkan panggilan England yang diterima Mount walaupun dia tidak beraksi bersama pendahulu liga itu baru-baru ini.

“Ia satu yang sukar,” kata Tuchel ketika ditanya mengenai Mount menjelang pertembungan di tempat sendiri menentang Burnley hari ini.

"Mason sebelum ini mengalami demam kerana sakit gigi, ia adalah sebab dia tidak berasa selesa, kerana terdapat jangkitan kuman.

"Kemudian dia kembali berlatih dan kehilangan sedikit berat badan kerana dia tidak boleh makan dengan betul. Dia makan ubat dan mari kita lihat.

"Dia berada dalam skuad untuk hari Sabtu dan boleh bermain beberapa minit, tetapi kami perlu menunggu reaksi kerana rawatan sewajarnya perlu dilakukan."