NICE 0 PSG 3

Thomas Tuchel mendedahkan melatih Angel Di Maria merupakan "suatu hadiah" selepas Paris Saint-Germain (PSG) merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Nice dalam aksi Ligue 1, semalam.


Dua jaringan Neymar dan satu gol daripada Christopher Nkunku sudah cukup memastikan kemenangan kelapan berturut-turut PSG dalam saingan Ligue 1, yang kini berada di puncak liga dengan kelebihan sembilan mata.

Neymar dan Eric Maxim Choupo-Moting turut memiliki jaringan gol yang dibatilkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid tetapi Di Maria yang menerima pujian daripada Tuchel.

"Saya sangat menggemari Di Maria, dia seorang pemain yang berbakat," kata Tuchel.

"Saya melihat dia beraksi bersama Real Madrid dan saya tidak boleh percaya akan melatihnya.

"Di Maria adalah seperti hadiah bagi saya. Senang bekerjasama dengannya dan dia adalah orang pertama sampai dalam setiap sesi latihan.

"Dia memiliki kemahiran yang tinggi dan sentiasa bermain untuk pasukan," ujarnya.

Tuchel merehat Edinson Cavani dan Marco Verratti untuk aksi di Allianz Riviera, dengan PSG meletakkan sasaran untuk meraih kemenangan ke atas Red Star Belgrade dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).