Thomas Tuchel berasakan Chelsea masih kurang mempamerkan keberanian dan menjangkakan lebih lagi daripada pasukannya dalam kemenangan 1-0 ke atas Barnsley dalam saingan Piala FA.

Gol ke-12 Tammy Abraham musim ini selepas minit ke-64 di Oakwell awal pagi tadi memastikan Blues bakal berdepan Sheffield United dalam suku akhir di Stamford Bridge bulan depan.

Ia merupakan satu-satunya percubaan tepat ke sasaran kelab London itu ketika Barnsley memberikan saingan selepas dibelasah 6-0 oleh lawan yang sama dalam Piala EFL September tahun lalu.

Tuchel bertukar kepada empat pertahanan bagi separuh masa kedua, menggantikan Andreas Christensen -- yang mengalami kecederaan kepala -- dan Marcos Alonso dengan Antonio Rudiger dan Reece James.

Ketua jurulatih Chelsea itu telah memimpin empat kemenangan dan satu seri sejak menggantikan Frank Lampard bulan lalu, dibolosi satu gol, tetapi mahu menyaksikan lebih daripada pasukannya.


"Pertukaran yang dilakukan memudahkan pasukan untuk melakukan serangan dan mengatasi tekanan yang mereka pamerkan," katanya.

"Kami bermula baik dalam separuh masa kedua dan kerap memberikan asakan. Kami menjaringkan gol dan saya berasakan mereka meningkatkan risiko tetapi kami mengambil keputusan untuk lebih berjaga-jaga.

"Masih kekurangan keberanian dipamerkan Chelsea, sememangnya kami mampu bermain dengan lebih baik, jadi saya menjangkakan lebih lagi daripada pasukan.

"Jika anda kekurangan rentak dan keyakinan diri dan ia dipamerkan di atas padang, berdepan lawan yang sedia mengambil risiko, ia bukan sesuatu yang mudah. Kami boleh bermain dengan lebih baik tetapi saya enggan terlalu menekan pasukan."