Thomas Tuchel mengisytiharkan dia akan 'tidak berpuas hati' jika mana-mana saingan Chelsea secara tidak adil mengambil kesempatan daripada peraturan penangguhan kecemasan COVID-19 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketua jurulatih Chelsea itu kecewa bulan lalu apabila permohonan supaya perlawanan The Blues menentang Wolves ditangguhkan selepas kes positif dalam skuad Tuchel ditolak.

Tanpa barisan terbaik, Chelsea berusaha untuk seri 0-0 di Molineux, dan Tuchel menegaskan dia sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menurunkan pasukan terbaik dalam setiap perlawanan.

Dalam sidang media semalam sebelum lawatan ke Manchester City, jurulatih Jerman itu ditanya sama ada dia berasakan pasukan lain mungkin ingin melanggar peraturan, dengan mengambil kira pemain yang tidak dapat hadir akibat kecederaan atau penglibatan Piala Negara-Negara Afrika apabila meminta penangguhan.

"Saya sangat, sangat berharap perkara itu tidak berlaku," kata Tuchel, "Kerana jika tidak saya akan sangat, sangat marah, kerana kami melakukan segala-galanya untuk menjayakan perlawanan.

"Kami dipaksa untuk beraksi ketika kami berdepan kesukaran, jadi saya hanya boleh berharap bahawa peraturan adalah peraturan yang sama untuk semua pasukan."

Liga Perdana Inggeris telah mengeluarkan panduan untuk diikuti oleh kelab apabila meminta penangguhan untuk faktor COVID-19.

Ia menyatakan bahawa apabila sebuah kelab tidak dapat menurunkan 13 pemain daripada senarai skuadnya -- atau dengan menggunakan pemain B21 tahun yang 'berpengalaman sewajarnya' -- perlawanan akan ditangguhkan.