Romelu Lukaku telah meminta maaf kepada Thomas Tuchel atas temu bual kontroversi minggu lalu dan bertanggungjawab untuk menjernihkan keadaan," menurut pengurus Chelsea itu.

Lukaku diketepikan daripada senarai 20 pemain Chelsea untuk pertembungan penting Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Liverpool berikutan komen yang dibuat dalam akhbar Itali itu.

Dalam perbincangan selama 30 minit itu, Lukaku berkata dia tidak begitu gembira dengan situasi ketika ini apabila mendapati dirinya berada di Chelsea sambil menyatakan hasratnya untuk kembali ke Inter pada satu hari kelak.

Dalam wawancara itu juga, yang disiarkan dalam dua siri, mendominasi topik perbincangan sebelum pertembungan yang menyaksikan The Blues bangkit untuk mengikat Liverpool seri 2-2.

Tuchel kemudian tetap dengan pendiriannya untuk mengetepikan pemain antarabangsa Belgium itu -- yang telah menemui sentuhan penyudah dalam dua perlawanan terakhir -- dengan menyatakan bahawa isu tersebut menjadi terlalu besar dan terlalu bingit.

Spekulasi pada hari-hari berikutnya mengaitkan Lukaku -- yang menyertai semula The Blues dengan rekod bayaran termahal kelab itu pada Ogos lalu -- mungkin akan keluar dari Stamford Bridge pada tahun ini.

Tetapi selepas mereka mengadakan perbincangan secara berdepan kelmarin, pemain berusia 28 tahun tersebut kembali menjalani latihan keesokannya, justeru Tuchel berharap ia dapat menetapkan satu garis panduan pada masa depan.

"Kami gembira dapat meluangkan masa untuk melihat situasi ini dengan tenang. Dia meminta maaf dan kembali dalam skuad untuk latihan hari ini," kata Tuchel dalam sidang akhbar malam tadi.

"Bagi saya, perkara paling penting ialah saling memahami. Dia tidak melakukan ini dengan sengaja untuk bersuara seperti ini menjelang sebuah perlawanan besar.

"Saya tidak meragui langsung mengenai komitmennya terhadap pasukan dan kelab. Romelu sedar dengan apa yang berlaku dan apa (kekacauan) yang telah dicipta.

"Sebelum temu bual ini, tiada sekelumit pun keraguan bahawa dia tidak komited. Dia seorang yang emosi, dia tidak mampu menahan diri daripada meluahkan pendapatnya.

"Kita tidak seharusnya menyalahkannya dan menunjukkan sisi negatifnya sahaja. Ia menimbulkan kekacauan yang tidak anda tidak inginkan tetapi tiada keraguan terhadap komitmennya kepada pasukan."






Lukaku telah melakar tujuh gol dalam 18 penampilan sejak kembali ke Chelsea dalam kempennya yang dihantui kecederaan buku lali dan positif COVID-19.

Walaupun Tuchel telah menerima permohonan maaf Lukaku, ia masih harus dilihat sama ada kelibatnya masih akan diterima oleh peminat Chelsea selepas dia mengakui dia lebih senang untuk kekal di Inter.

Ditanya mengenai sambutan yang boleh dijangkakan itu, Tuchel berkata: "Dia sedar tentang apa yang berlaku dan dia yang memulakannya jadi dia bertanggungjawab membersihkan kekacauan yang telah timbul.

"Tetapi baunya mungkin masih ada lagi. Kami gembira dia menjadi pemain kami dan kami akan melindunginya. Jika seseorang langsung tidak bersetuju, ini kerana ia adalah mengenai pasukan atas segala yang kami lakukan.

"Sudah tentu dia patut menyedarinya dengan lebih baik tetapi itulah sebabnya kami bersama-sama telah menjernihkan suasana."