Beberapa pilihan sudah pun diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ia dipanjangkan kepada Jawatankuasa Exco AFC berhubung kedudukan Piala AFC dengan pengumuman dijangka dibuat minggu depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, sekali lagi bertegas bahawa tiada pembatalan dibincangkan, sebaliknya keputusan akan dibuat sambil menunggu sehingga saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) berakhir,,termasuk mempertimbangkan Piala AFC dilangsungkan di negara berkecuali.

"Pemilihan tuan rumah bukan satu perkara yang boleh diambil ringan. Walaupun ada tawaran daripada mana-mana negara untuk menjadi tuan rumah," katanya.

Tuan rumah Kumpulan I dan H, Singapura -- yang sepatutnya menjadi venue rasmi kepada wakil negara, Kedah Darul Aman dan Terengganu -- mengumumkan pembatalan penganjurannya berikutan peningkatan kes COVID-19 negara berkenaan.



Tambahnya, konfederasi itu belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada Indonesia jika benar republik itu berhasrat menganjurkannya.

"Situasi COVID-19 menjadi kriteria utama selain pilihan penerbangan untuk memudahkan perjalanan pasukan."