Syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd menunaikan janji untuk menyelesaikan segera gaji tertunggak pemain apabila mengadakan pertemuan dengan bekas kapten, Mohd Badhri Radzi atau Piya, hari ini.

Pengarah Urusan TRW, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, berkata pertemuan dan persetujuan bayaran secara ansuran itu membuktikan komitmen berterusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam usaha melunaskan semua hutang lapuk pemainnya.

"Alhamdulillah, sebagai permulaan, kami selesaikan dahulu sebahagian tunggakan gaji Piya dengan menggunakan wang hasil jualan tiket.

"Secara peribadi, saya amat berterima kasih kepada Piya kerana sanggup bertolak-ansur dan bersetuju dengan kaedah bayaran ansuran yang dicadangkan TRW Sdn. Bhd ini,” katanya kepada media.

Selain Piya, Wan Rakemi yang juga bekas pengurus skuad The Red Warriors (TRW), mendedahkan pihaknya juga berjaya melunaskan sebahagian tunggakan gaji yang melibatkan penjaga gol Melaka United (MU), Khairul Fahmi Che Mat atau Apek.

"Kami gunakan sepenuhnya hasil keuntungan jualan tiket aksi persahabatan Kelantan menentang Kedah malam tadi bagi melangsaikan sebahagian hutang kedua-dua tonggak itu," ujarnya.

Kredit Foto: Kelantan FA



Editor: Nafis Abdullah