Ketua jurulatih Penang, Tomas Trucha, belum mahu mendedahkan kehadiran tonggak penyerang antarabangsa Lubnan, Hilal El-Helwe, yang dikaitkan bakal menggalas watak bagi mengisi kuota import Asia musim 2022.

Ini berikutan Hilal yang juga merupakan pemain kelahiran Jerman masih lagi beraksi bersama majikannya, Al Ahed, yang berpangkalan di Beirut.

Pemain dengan ketinggian 1.86 meter itu bakal muncul import keempat Harimau Kumbang musim ini selepas pihak pengurusan mengekalkan khidmat trio Brazil, Casagrande, Rafael Vitor dan Endrick Dos Santos.

Fokus Trucha ketika ini terarah kepada persiapan pra-musim selepas meraih tempat ketiga Liga Super musim lalu apabila turut menampilkan muka baru, antaranya penjaga gol; Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Azzizan Nordin serta kemunculan semula pemenang Puskas 2017, Faiz Subri.

"Kami sedang membina pasukan selain membentuk keserasian dengan muka baru.

"Selain lanjutan khidmat tiga pemain import yang sudah diumumkan, selebihnya terserah kepada pengurusan untuk membuat pengumuman.

"Seperti yang berlaku di serata dunia, sebelum jendela perpindahan ditutup pada tengah malam, apa sahaja boleh terjadi.

"Kami perlu sedar kedudukan ketika ini, saling memahami antara pemain dan tuntutan jurulatih.

"Saya sedang mengenal pasti potensi pemain. Ada yang kerap beraksi pada musim lalu dan ada pula yang tidak tetapi sekarang semua pemain memiliki peluang sama rata.




"Secara keseluruhan saya tidak jangkakan perubahan besar. Buat masa ini saya mengusahakan sumber yang ada," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.