Jocelyn Gourvennec segera berkongsikan kejayaan bersejarah Lille memenangi Trophee des Champions awal pagi tadi dengan bekas ketua jurulatih pasukan itu, Christophe Galtier.

Galtier membimbing Lille menamatkan penantian sedekad untuk memenangi Ligue 1 pada musim lalu sebelum memilih menyertai Nice untuk Gourvenec mengambil alih peranannya dan berhasil menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 dalam penentuan terbaru itu awal pagi tadi.

Jaringan jarak jauh Xeka dalam babak pertama sudah cukup untuk menjadi pemisah kedua-dua pasukan, sekali gus menamatkan dominasi lapan tahun PSG dalam saingan itu -- juga kejayaan pertama Lille sepanjang tiga percubaan.

"Apabila anda bersaing merebut trofi, apa yang penting adalah gelaran itu," kata Gourvennec selepas perlawanan itu.

"Kami berdepan kesukaran dalam babak kedua kerana terdapat kualiti teknikal di tahap tinggi di depan kami.

"Kami menghadapi banyak perkara tetapi pemain kami sudah biasa melaluinya. Terdapat jika situasi seperti itu musim lalu dan kami dapat kekal kuat.

"Bukan mudah untuk mengambil alih daripada Christophe. Mudah untuk saya katakan bahawa saya berkongsi kejuaraan ini dengannya kerana dia telah melakukan kerja yang hebat bersama stafnya. Ini adalah gelaran buatnya.

"Ia permulaan yang bagus dan sesuatu yang positif. Terdapat kekuatan secara kolektif dalam pasukan ini dan terdapat bakat juga. Kami menemuinya malam ini," katanya.