Penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh, mengakui kejayaan meraih trofi sulung bersama Pahang lebih bermakna buat dirinya berbanding dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2018, semalam.

Sumareh muncul antara watak penting skuad Tok Gajah dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Pemain kelahiran Gambia itu kerap memberi masalah kepada pertahanan lawan menerusi gerakan di bahagian sayap hingga menjadi pencetus dua gol pasukannya.

Ternyata persembahan Sumareh semalam paling mencuri tumpuan walaupun tidak menghasilkan sebarang gol.

"Saya rasa bagus dan menunggu saat ini. Kami ke final pada tahun lalu tetapi gagal meraih gelaran juara.

"Saya gembira dengan rakan sepasukan saya, kami bekerja keras dan akhirnya berjaya. Peminat berhak meraikan kemenangan ini," katanya.

Sementara itu, pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, yang meledak gol pendahuluan, berkata kejayaan itu mengubati kekecewaannya musim lalu susulan tewas 3-2 kepada Kedah di pentas yang sama.

Turut diangkat sebagai wira Pahang adalah penyerang import, Patrick Cruz, setelah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pasukannya walaupun beraksi dalam kesakitan susulan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Kami tewas di tangan Kedah tahun lalu dan telah membuktikan bahawa Pahang mampu bergelar juara tahun ini," ujar Azam.

"Saya memang mengalami kecederaan sebelum ini tetapi untuk aksi final, saya melakukan segala-galanya untuk beraksi. Saya hanya berharap dapat menjaringkan gol untuk pasukan," tambah Cruz.