Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi ,memaklumkan bahawa Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan tidak akan turun beraksi menentang China dalam perlawanan pembukaan Trofi Juara-Juara Asia 2021 di Donghae, Korea Selatan esok.

Jadual asal perlawanan menyaksikan pasukan wanita negara sepatutnya turun bertemu China jam 9.30 pagi waktu Malaysia, namun diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib gara-gara seorang pemain diuji positif COVID-19 dan pihak penganjur telah memutuskan bahawa Malaysia tidak dibenarkan untuk beraksi.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Pengurus Pasukan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani, yang kini sedang berhubung rapat dengan pihak penganjur bagi mendapatkan gambaran status pasukan negara.

KHM, dalam pada itu, menghormati keputusan yang telah diambil oleh pihak penganjur, yang pastinya mahu menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak terlibat dalam kejohanan berkenaan, selain perlu mematuhi setiap garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan kini sedang menjalani proses kuarantin wajib selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif virus itu hasil daripada ujian calitan yang dilakukan setelah pasukan negara tiba di Donghae pada 29 November lalu.



*Sumber: KHM