Ketua jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Negara, Nasihin Nubli, akur dengan keputusan Persekutuan Hoki Asia (AHF) untuk tidak membenarkan pasukannya beraksi dan dibatalkan penyertaan gara-gara kes positif COVID-19 melibatkan pemain negara.

Perkara itu diumumkan AHF dalam laman web rasmi mereka hari ini dan difahamkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut telah dimaklumkan mengenai pembatalan penyertaan skuad wanita negara.

Terdahulu, seorang pemain negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim, disahkan positif virus itu hasil daripada ujian calitan yang dilakukan setelah pasukan negara tiba di Donghae, Korea Selatan pada 29 November lalu.

Malaysia kemudian terlepas dua perlawanan pertama menentang China dan India kerana perlu menjalani pengasingan dan Nasihin dalam satu perkongsian bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, berkata dia dan pemainnya akur dengan keputusan AHF dan memahami protokol perubatan dan keselamatan di negara tuan rumah berkenaan.

"Kami tidak dibenarkan untuk beraksi dalam kejohanan ini. Saya rasa kita tidak boleh buat apa dan perlu akur dengan undang-undang yang ditetapkan mana-mana negara.

"Pemain juga sudah memahaminya dan mereka sudah bersedia secara mental untuk kami redha dikeluarkan daripada kejohanan ini.

"Salah seorang pemain kami didapati positif COVID-19 ujian calitan pertama sebaik kami tiba di sini.

"Daripada itu, kami melihat kepada keadaannya, terutama daripada segi mental.

"Dia kelihatan baik, kami mencuba untuk menggembirakannya dan berkata kepadanya bahawa ia bukan salahnya.

"Apa-apa sahaja boleh terjadi sepanjang perjalanan kami ke sini. Kami tidak mahu dia berasa bersalah atas apa yang berlaku kepada pasukan di sini.

"Sebagai satu pasukan, kami akan pergi dan balik sebagai satu pasukan," katanya.