Kieran Trippier menerima dia tidak layak untuk berada dalam skuad kebangsaan England menjelang saingan Liga Negara-Negara UEFA susulan aksi buruk bersama Tottenham Hotspur.

Trippier merupakan salah seorang bintang ketika Piala Dunia 2018, menyinar bersama The Three Lions yang mara ke separuh akhir serta menyumbat gol menerusi sepakan percuma sewaktu tewas di tangan Croatia dalam separuh akhir.

Namun, prestasi bek kanan itu menurun sejak itu dan dia gagal memperkuatkan skuad kendalian Gareth Southgate itu tatkala Kyle Walker dan Trent Alexander-Arnold lebih menjadi pilihan untuk mengisi posisi itu.

Trippier turut menanggung kepedihan awal pagi semalam apabila Spurs tewas di tangan Liverpool di pentas final Liga Juara-Juara Eropah dan pertahanan berusia 28 tahun itu sedar dia perlu meningkatkan prestasi.

"Jika pengurus memilih saya untuk beraksi, saya akan memberikan segalanya," katanya.

"Semua orang melakukan kesilapan. Saya banyak melakukannya musim ini tetapi tetapi saya perlu memperbaikinya. Saya mengharungi banyak temubual tentang prestasi musim ini dan ia tidak begitu baik. Saya orang pertama yang akan memperkatakannya.

"Saya melalui perbualan yang bagus bersama Southgate. Saya gembira dengan peluang yang diberi. Saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk kembali bersama skuad England. Saya juga tahu perlu beraksi lebih baik dan sudah tentu saya tidak berada dalam skuad kerana tidak bermain dengan bagus.

"Alexander-Arnold dan Walker mempamerkan persembahan hebat musim ini. Mereka berhak untuk beraksi dan saya tidak. Ia jelas dan saya tahu itu kenyataannya.

"Saya perlu bangkit di penghujung musim, kembali cergas dan cuba menarik perhatian Southgate. Saya orang pertama yang tahu jika beraksi buruk. Anda boleh belajar daripadanya. Saya gembira musim telah berakhir. Situasi dalam England memang sukar tetapi saya sedia terima keputusan Southgate."

Trippier dikaitkan dengan jalan keluar daripada Spurs menjelang musim 2019-20 tatkala Juventus dan Napoli dilaporkan berminat untuk membawanya ke Serie A.

"Saya gembira di sini," tambahnya.

"Ia adalah skuad hebat. Dalam bola sepak, segalanya pantas berlaku. Saya melalui tahun yang hebat sebelum ini di sini.

"Namun, ia cuma salah satu daripadanya. Saya akan menikmati rehat, kembali untuk saingan pramusim dan berbincang dengan pengurus untuk ketahui perkara selanjutnya."