Diego Simeone menegaskan Kieran Trippier adalah pemain penting kepada Atletico Madrid tetapi mencadangkan bek kanan itu mungkin meninggalkan kelab itu untuk menyertai Newcastle.

Skuad kenalian Eddie Howe menuju ke jendela perpindahan pertama berikutan pengambilalihan oleh pemilik dari Arab Saudi Oktober lalu, dengan Newcastle dilaporkan telah mengemukakan bidaan rasmi untuk menjadikan Trippier sebagai pemain pertama era baharu mereka.

Trippier yang berpengalaman telah berulang kali dikaitkan dengan pertukaran pertengahan musim ke Newcastle, setelah mempamerkan aksi mengagumkan semasa berkhidmat di ibu kota Sepanyol itu, dan sebelum ini juga pernah dicadangkan sebagai sasaran Manchester United, Arsenal dan Everton.

Trippier, yang menyertai juara bertahan LaLiga dari Tottenham pada Julai 2019, telah meraih 67 penampilan di liga utama untuk Atletico, manakala Howe sebelum ini mengendalikan pemain berusia 31 tahun itu ketika bersama Burnley pada 2012.

Ketua jurulatih Atletico Simeone menangani spekulasi perpindahan itu ketika dia menyatakan cukup kagum dengan Trippier, walaupun dia mengakui bahawa pengurus tidak boleh mempengaruhi keputusan pemain untuk berhijrah.

"Kieran Trippier perlu memutuskan sama ada dia akan berhijrah atau tidak," kata Simeone.

"Kami akan meneruskan mengikut keputusannya. Kami sentiasa mengalami situasi ini di mana pemain di tahap baik mempunyai kemungkinan untuk meninggalkan kelab.

"Ia bergantung kepada apa yang pemain mahukan. Kami kemudian akan mencari penyelesaian. Kami jurulatih tidak boleh berbuat terlalu banyak dari segi keputusan pemain. Kami hanya boleh memberitahu Trippier betapa pentingnya dia untuk pasukan."