Pasukan mana yang tidak mendambakan keupayaan menurunkan barisan penyerang yang dianggotai Neymar, Kylian Mbappe dan Lionel Messi?

Tiga pemain yang semestinya tergolong dalam kalangan pemain terbaik dunia bola sepak masa kini, namun tiga pemain ini jugalah yang dikatakan adalah punca kekalahan 2-1 Paris Saint-Germain (PSG) di tangan Manchester City semalam serta alasan mengapa pengurus mereka, Mauricio Pochettino, tidak berdaya sama sekali.

Dalam temu bual bersama stesen televisyen, CBS Sports, bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher, dipetik sebagai berkata: "Pochettino harus meninggalkan PSG secepat mungkin.

"Kalau saya adalah Pochettino dan Manchester United menawarkan jawatan pengurus kepada saya, esok juga saya berangkat.

"Semua ini disebabkan tiga pemain bintang itu, Neymar, Mbappe dan Messi."

Kata-katanya disokong oleh legenda Arsenal, Thierry Henry, yang lantang mengkritik tiga penyerang tersebut.

"Jika PSG mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, mereka tidak boleh bertahan dengan tujuh pemain semata-mata. Saya tidak peduli siapa pun kamu.

"Pemain-pemain penyerang dalam pasukan juara adalah pemain yang tahu melakukan tugas bertahan, bukan sekadar tahu menunggu bola sahaja.

"Disebabkan gaya permainan Neymar, Mbappe dan Messi, pemain bek mereka sentiasa terdedah kepada bahaya.

"Pasukan-pasukan lain dalam Ligue 1 tidak mampu mengeksploitasi kelemahan ini tetapi Manchester City lebih daripada mampu.

"Malang sekali, hakikatnya adalah Pochettino tidak dibenarkan untuk mengubah strategi atau formasi kerana dia wajib menurunkan tiga pemain bintang ini," ujar Henry.



'Kewajipan' yang dimaksudkan adalah tekanan peminat serta pihak lembaga pengurusan kelab juga.

Kehadiran tiga pemain bintang itu di atas padang merupakan sesuatu yang tidak boleh dirunding.

Biarpun PSG memiliki barisan pemain penyerang yang paling menggerunkan di seluruh Eropah, Pochettino ternyata sukar memainkan peranan sebagai pengurus yang baik dan mengetengahkan strategi serta idea yang dia mahukan.

PSG memiliki kualiti individu untuk memenangi kebanyakan perlawanan dalam Ligue 1 tetapi seringkali kecundang di tangan pihak lawan yang lebih kuat dari negara lain atas sebab ini.

Sewaktu Pochettino mengurus Tottenham Hotspur, pasukannya dikenali sebagai skuad yang proaktif.

Kadar usaha pemainnya digolongkan dalam kelompok tertinggi di seluruh Liga Perdana Inggeris.

Tidak ada satu pun ciri-ciri ini yang kelihatan dalam pasukan PSG sekarang.

Keengganan Neymar, Mbappe dan Messi untuk turun membantu pertahanan menjadikan PSG satu pasukan yang bahaya apabila strategi serangan balas digunakan tetapi strategi sebegini memberikan tekanan besar terhadap kesemua rakan sepasukan dalam menguasai perlawanan.

Sebagai contoh, disebabkan PSG terpaksa bertahan dengan tujuh pemain sahaja sewaktu menentang City, Riyad Mahrez diberikan banyak ruang untuk bergerak bebas dan persembahannya membuatkan PSG pening kepala.



Sewaktu bersama Tottenham, Pochettino diberikan kebebasan untuk menurunkan pemain yang dianggapnya terbaik dan paling bersesuaian dengan strategi yang ingin digunakan

Jika pemainnya di Tottenham enggan mematuhi gaya permainan yang diinginkannya, mereka bebas untuk dia singkirkan.

Di PSG, ketiga-tiga Neymar, Mbappe dan Messi dikhabarkan langsung tidak yakin dengan idea dan gaya Pochettino, namun mereka sama sekali tidak boleh disentuh.

Selagi mereka bertiga kekal bersama kelab, selagi itu jugalah Pochettino harus pasrah dengan keadaan.

Keupayaan dan kaliber Pochettino sebagai seorang pengurus tidak boleh dinafikan, malah pengurus Manchester City sendiri, Pep Guardiola, turut memberikan pujian tinggi terhadap beliau.

Namun, berdasarkan apa yang kita lihat setakat ini, PSG bukanlah tempat terbaik untuk dia menunjukkan potensi sebenarnya.