Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, memuji Zaquan Adha Abdul Radzak, Syazwan Andik Ishak dan Irfan Zakaria apabila memberi impak berbeza kepada The City Boys untuk merakamkan kemenangan selesa 4-0 ke atas Kuching FA dalam pusingan kedua Piala FA, malam tadi.

Dengan format Piala FA yang membenarkan hanya empat pemain import diturunkan, Maciel memutuskan tidak menurunkan Fabio Apreciado.

Malah, dia juga melakukan perubahan taktikal apabila menurunkan tiga pemain yang kali pertama beraksi dalam kesebelasan utama, iaitu Mohd Zaquan Adha, Syazwan dan Irfan.

Nyata, percaturan itu memberi impak berbeza menerusi aksi kemas di atas padang sehingga berjaya membelasah pasukan Piala FAM, Kuching FA, 4-0.

"Kami berada dalam laluan baik. Saya mempunyai kumpulan pemain yang baik yang memberi aksi baik setakat ini dan untuk perlawanan selepas ini.

"Ini membolehkan saya membuat pertukaran sambil mengekalkan corak permainan," kata jurulatih itu.

Bagi Kuching FA, perlawanan ini sudah pasti menjadi pendedahan berguna kepada mereka, dengan pengalaman dan kudrat pemain import menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan dalam pertemuan di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

"Pengalaman yang dimiliki pemain Kuala Lumpur, termasuk bekas pemain kebangsaan, pemain yang masih bermain dengan skuad negara dan pemain import mereka membuatkan mereka begitu berbeza," kata jurulatih Kuching FA, Ahmad Fairuz Yunus.

Kejayaan itu menjadi tonik terbaik buat Kuala Lumpur untuk mengharungi cabaran Liga Super selepas mereka gagal mempamerkan aksi baik dan menghuni tangga terbawah ketika ini.