Penyerang legenda, David Trezeguet, percaya bahawa skuad Perancis memiliki segala yang diperlukan untuk menjuarai Piala Dunia 2018.

Trezeguet merupakan sebahagian pasukan Les Bleus sewaktu menjuarai saingan di laman sendiri 20 tahun lalu sebelum dikecewakan di pentas final ketika saingan di Jerman, lapan tahun kemudian.

Walaupun sering melalui tempoh mengecewakan dalam kejohanan besar, Trezeguet tetap yakin dengan skuad kendalian Didier Deschamps itu untuk menampilkan aksi terbaik di Russia kali ini.

"Saya rasa mereka berada di kedudukan terbaik untuk memenanginya selepas mempamerkan aksi terbaik," kata Trezeguet kepada Omnisport.

"Secara individu, mereka ada pasukan bertaraf dunia sambil dibimbing oleh individu yang hebat selaku pemain dan juga pengurus. Perancis memiliki segalanya.

"Jelas sekali ia adalah kejohanan yang sukar dan pasukan lain turut bercita-cita tinggi tetapi Perancis tetap mempunyai kelebihan," tambahnya.

Sama seperti sewaktu Trezeguet beraksi buat Les Bleus apabila diapit Thierry Henry, Christophe Dugarry dan Nicolas Anelka, Perancis kini dilihat dipenuhi dengan pilihan di barisan depan apabila mempunyai Antoine Griezmann, Kylian Mbappe serta Nabil Fekir dan kesemua mereka telah disenaraikan Deschamps bagi aksi di Russia.

"Deschamps memiliki banyak pilihan. Apabila anda melihat kualiti pemain, pastinya sukar untuk membuat pilihan.

"Bagaimanapun, dia sudah tentu akan cuba mendapatkan pemain yang tepat untuk diturunkan dalam Piala Dunia."