Dua minggu yang menjadi simbol dan lambang debat yang sentiasa mengelilingi Trent Alexander-Arnold.

Digunakan sebagai pemain tengah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan England. Tetapi kemudiannya dilabel sebagai bek kanan terbaik di dunia, oleh ketua jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp. Gary Lineker melihat debat ini dengan lensa yang sama seperti Southgate, tetapi Jamie Carragher pula berpendapat Trent mampu menawarkan lebih banyak, jika dikekalkan di sayap kanan.

Tempoh hari menentang AC Milan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, Trent sekali lagi memberi gambaran dikotomi yang membelenggu reputasinya sebagai seorang pemain. Dari sudut pandangan ofensif, Trent muncul antara pemain Liverpool yang paling berbahaya malam itu.

Tidak serik meletakkan tekanan terhadap barisan pertahanan Milan; pergerakannya tanpa bola juga turut mendatangkan pelbagai masalah. Malah, Trent juga membuka tirai jaringan malam tersebut, selepas berganding bersama Mohamed Salah di bahagian sayap kanan.

Pada masa yang sama, majoriti peluang berbahaya yang dicipta AC Milan tiba di bahagian sayap kiri, di mana tabiat Trent untuk lebih fokus di bahagian serangan sering kali meninggalkan ruang untuk dieksploitasi oleh nama-nama seperti Ante Rebic dan Rafa Leao. Kedua-dua jaringan Milan malam tersebut hadir melalui gerakan di bahagian sayap kiri mereka, yang bertentangan dengan zon yang dikemudikan oleh Trent.

Sudah menjadi kebiasaan untuk kita semua melihat nama Trent Alexander-Arnold menjadi ejen pemisah pendapat, tetapi konteks yang lebih besar di sini bukanlah posisinya di atas padang, tetapi evolusi peranan seorang ‘fullback’ sepanjang hampir dua dekad lepas. Transformasi ini secara tidak langsung telah mengubah landskap taktikal bolasepak dan membantu melahirkan satu generasi ‘fullbacks’ yang mula mencabar persepsi kita tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan oleh seorang pemain yang beraksi di posisi tersebut.

Suatu ketika dahulu, dalam konteks bolasepak profesional dan sosial, sesiapa yang tidak mempunyai kebolehan teknikal yang baik, akan diletakkan di posisi bek kanan atau bek kiri. “Nobody grows up wanting to be Gary Neville.” Tidak ada sesiapa membesar dengan impian mahu menjadi Gary Nevilla - antara perumpamaan bolasepak yang sentiasa digunakan pada ketika itu. Posisi fullback dilihat sebagai zon yang tidak mempunyai daya tarikan dan juga kepentingan eksklusif dalam sesebuah sistem bolasepak.

Ketika Roberto Carlos berhijrah ke Inter Milan pada tahun 1996, dia tiba dengan penuh optimis bahawa hasratnya untuk beraksi dengan corak yang lebih menyerang akan dipenuhi. Tetapi di bawah sistem Roy Hodgson pada ketika itu, keempat-empat pemain yang beraksi di zon pertahanan tidak diberikan lesen untuk meninggalkan kawasan mereka. Ini bukan sekadar pandangan ‘kuno’ Hodgson, tetapi komuniti bolasepak di Eropah masih melihat peranan fullback dari perspektif yang konservatif. Tugas seorang pemain pertahanan, adalah untuk bertahan, kata mereka.

Carlos kemudiannya menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada pemilik Inter, Massimo Moratti dan dia akhirnya dijual ke Real Madrid, di mana bintang Brazil itu akhirnya diberi ‘license to attack’, sekaligus membantu transformasi posisi ‘fullback’ dan cara ia diinterpretasikan oleh dunia bolasepak secara keseluruhan. Buat orang ramai, Roberto Carlos adalah individu pertama untuk mencetus perubahan taktikal yang berjaya melahirkan nama-nama seperti Trent Alexander-Arnold, Achraf Hakimi dan juga Joshua Kimmich pada hari ini.

Dalam tahun-tahun yang akan datang, kita mula melihat ketibaan pemain-pemain seperti Ashley Cole, Patrice Evra, dan terutamanya Philipp Lahm - individu yang mula menambah dimensi yang berbeza kepada posisi tersebut. Kebijaksanaan bolasepak yang sebelum ini hanya ditagihkan dari seorang creative playmaker ataupun pemain yang beraksi di posisi No.10, kini mula dilihat sebagai aset yang turut boleh dimiliki oleh pemain di posisi ‘fullback’.

Anjakan paradigma yang dibawa oleh Lahm tidak boleh dipandang rendah. Jika Roberto Carlos, Ashley Cole dan Patrice Evra dilihat sebagai ‘marauding fullbacks’, Lahm pula dilihat sebagai ‘playmaking fullback’. Seorang individu yang mempunyai kebijaksanaan dan pemahaman taktikal yang cukup tinggi untuk mencetus proses penciptaan peluang dari bahagian sayap.

Tetapi beberapa bulan lepas, apabila saya diberi penghormatan untuk menemu bual Philipp Lahm, dia ada menyebut satu lagi nama yang semestinya tidak boleh kita tolak tepi. Malah, apabila revolusi posisi fullback ini dianalisa dengan teliti, individu ini mungkin boleh diklasifikasikan sebagai pemberi impak terbesar dalam perubahan taktikal berskala besar, sekitar 2007 ke 2012. Perubahan yang dibawa oleh kemunculan Pep Guardiola bersama ideologi yang berteraskan Johan Cruyff. Nama individu tersebut adalah Dani Alves.

Dani Alves bukan sahaja memiliki kebijaksanaan Philipp Lahm dengan bola di kakinya, malah dia turut mempunyai senjata yang menjadi identiti utama golongan ‘marauding fullbacks’ yang lain - kepantasan dan kebolehan untuk menjaringkan gol. Malah di Barcelona, Alves seolah-olah beraksi sebagai ‘right-sided forward’ dan sering kali menjadi aspek yang begitu penting untuk menarik perhatian pemain-pemain pertahanan yang lain demi membuka ruang buat Leo Messi di tengah. Alves juga kerap bergerak masuk ke dalam kotak penalti - suatu perkara yang jarang kita lihat dari pemain-pemain lain yang beraksi di posisi fullback.

Ketika dia menyertai PSG beberapa tahun lepas, Thomas Tuchel tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari bahawa walaupun Dani Alves tidak lagi mempunyai keadaan fizikal untuk beraksi di bahagian sayap, kebijaksanaan bolasepaknya masih tidak terganggu. Hasilnya, Dani Alves ditukar menjadi seorang pemain tengah dengan alasan bahawa ‘setiap pemain yang bijak perlu memegang bola sekerap mungkin’.

Dan sebenarnya, prinsip ini cukup penting untuk kita cuba memahami dilema yang sentiasa menemani Trent Alexander-Arnold. Walaupun di atas kertas, nampak seperti ada perbezaan ketara yang memisah cara Trent dilihat oleh Southgate dan Klopp, hakikatnya, kedua-dua individu ini mempunyai konsep yang sama. Seperti yang dikatakan oleh Tuchel, kedua-duanya mahu melihat Trent memegang bola dengan lebih kerap.

Perbezaannya adalah corak taktikal dan sistem yang digunakan oleh kedua-dua jurulatih. Klopp adalah seorang jurulatih moden yang telah membina sebuah sistem yang luar biasa di Liverpool. Dalam sistem tersebut, fullbacks tidak dikehendaki bertahan dengan kerap, dan sebaliknya dilihat sebagai playmaker utama pasukan. Ini turut dibantu dengan tiga pemain tengah, yang lebih bersifat ‘workhorse’ berbanding kreatif, untuk menawarkan perlindungan defensif, tatkala Trent dan Robertson fokus terhadap proses penciptaan peluang.

Southgate pula menggunakan sistem yang lebih ‘orthodox’ di mana, jentera tengahnya masih perlu memiliki seorang ‘playmaker’ yang berfungsi sebagai titik fokus segala serangan yang cuba dibina. Ini tidak bermakna fullbacks tidak mempunyai sebarang peranan menyerang dalam sistem Southgate - kerana kita sentiasa melihat Luka Shaw, Kyle Walker dan juga Kieran Trippier turut menyumbang di bahagian ‘final third’. Cuma, sistem Southgate lebih menekankan aspek defensif seorang fullback - suatu perkara yang tidak membenarkan Trent beraksi dengan kebebasan yang diberikan kepadanya di Anfield.

Perbezaan ini yang mencetus debat posisi terbaik buat Trent, walaupun kedua-dua jurulatih sebenarnya mengenali kebolehan unik yang dimiliki Trent. Mungkin persoalan yang lebih besar adalah, wajarkah seorang jurulatih membina sebuah sistem khas untuk membantu Trent mengeluarkan kualiti utamanya? Itu bergantung kepada falsafah bolasepak seorang jurulatih dan corak permainan yang mereka gemari.

Namun, kebolehan Trent Alexander-Arnold adalah suatu perkara yang tidak boleh diragui lagi. Cukup munasabah untuk saya katakan bahawa Trent adalah penyambung legasi Dani Alves, biarpun masih berumur 22 tahun. Cuba bayangkan betapa bagus Trent akan jadi dalam dua-tiga tahun yang akan datang? Tidak kira jika dia digunakan sebagai bek kanan, ataupun pemain tengah.