Pemain Manchester City, Yaya Toure, bersetuju untuk memperbaharui kontrak selama satu musim, semalam, dan kekal di Etihad.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu merupakan nadi utama skuad The Citizens ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali, menjadi watak penting untuk dua kali memenangi Piala EFL serta menjaringkan gol kemenangan City ketika final Piala FA 2011 menentang Stoke City, sekaligus menamatkan penantian selama 35 tahun The Citizens.

Bagaimanapun, Toure mengharungi permulaan musim 2016-17 yang sukar apabila disingkirkan daripada menyertai sesi bergambar tahunan pasukan oleh pengendali, Pep Guardiola, individu yang melepaskannya ke City dari Barcelona pada tahun 2010.

Toure dikatakan mengalami masalah berat badan apabila kembali menyertai kem latihan pra-musim, namun melakukan penampilan menakjubkan semasa pertama kali mengisi kesebelasan utama City ketika menentang Crystal Palace pada November dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1.

“Saya gembira serta sering berasakan bahawa perjalanan saya di sini masih belum tamat dan apabila menerima panggilan dari Txiki (Begiristain, pengarah bola sepak Manchester City), saya benar-benar seronok,” kata Toure.

“Ketika mula-mula tiba, saya mahu menjadi sebahagian daripada kisah istimewa baru di City dan saya amat gembira dapat bersama dengan seluruh pasukan yang membantu saya mencapai cita-cita.

“Sudah pasti saya mahu memenangi trofi, itu sangat penting dan mahu menikmati masa di kelab yang hebat dengan hala tuju yang diidamkan,” ujarnya.

Toure telah melakukan 299 penampilan bersama The Citizens, menjaringkan 81 gol, termasuk 20 gol ketika menjuarai EPL musim 2013-14.

Dia adalah satu-satunya pemain senior yang meraih perjanjian baru selepas kontrak lama tamat pada musim 2016-17 manakala Pablo Zabaleta, Bacary Sagna, Gael Clichy, Jesus Navas dan Willy Caballero mengesahkan untuk meninggalkan pasukan.

“Toure merupakan pemain yang hebat untuk City dan menjadi nadi utama dalam perancangan skuad di bawah bimbingan Guardiola,” jelas Begiristain.

“Dia salah seorang pemain paling berpengalaman yang kami miliki dan pastinya seluruh pasukan gembira apabila dia menyatakan kesetiaannya,” katanya.

Pemergian Caballero menyaksikan posisi penjaga gol di Etihad bakal berkurangan, namun City dijangka menandatangani Ederson dari Benfica selepas kelab dari Portugal itu mengesahkan akan menjual pemain Brazil itu dengan harga EUR40 juta.

Minggu lalu, City melengkapkan perpindahan pertama menjelang musim baru apabila berjaya mendapatkan perancang Portugal, Bernardo Silva, dengan harga EUR50 juta.