Toure: Foden adalah masa depan Citizens

Penulis Jemputan
November 22, 2017 23:56 MYT
Yaya Toure melabelkan pemain yang sedang meningkat naik, Phil Foden, sebagai “masa depan” Manchester City dan yakin bintang muda itu akan sampai ke puncak prestasi dalam dunia bola sepak.
Nilai Foden naik secara mendadak selepas membarisi skuad England B-17 dalam saingan Piala Dunia yang menyaksikan mereka muncul juara dan melakukan penampilan sulung bersama pasukan utama City ketika menewaskan Feyenoord dalam aksi Liga Juara-Juara, kelmarin.
Pengendali pasukan, Pep Guardiola, menjelaskan perkembangan karier Foden bergantung kepada sikap pemain berusia 17 tahun itu, namun Toure yakin Foden mampu mengikuti jejak langkah pemain senior lain seperti Kevin De Bruyne, David Silva dan Ilkay Gundogan.
“Jika Foden kekal di sini, dia akan menjadi salah seorang pemain terbaik kerana pastinya bagus untuk mengikut jejak langkah serta bergaul rapat dengan pemain-pemain utama,” ujar Toure kepada laman web rasmi Manchester City.
“Ketika saya di Barcelona, saya meraih banyak ilmu. Saya beruntung kerana meraih peluang untuk memenangi trofi kerana pemain-pemain yang berada di sekeliling saya.
“Ia sesuatu yang hebat buat Foden dan dia adalah masa depan pasukan.
“Foden sangat penting. City sentiasa bergerak ke depan, jadi sangat penting untuk mengekalkan pemain,” tambahnya.
“Saya berharap dia akan kekal lama dan saya dapat merasakannya.
“Pemain-pemain seperti Silva, De Bruyne, Gundogan dan Fernandinho akan membantunya meraih banyak pengalaman serta keyakinan dan walaupun City adalah pasukan yang sering mendapatkan pemain-pemain hebat, Foden tetap perlu terus berada bersama kami.
“Saya berharap akan dapat menyaksikan seorang pemain hebat satu hari nanti,” katanya lagi.
#“Liga #“Manchester #City” #“Phil #“Yaya #Foden” #Juara-Juara” #Toure”