TOULOUSE 1 AJACCIO 0
(Toulouse lolos dengan agregat 4-0)

Toulouse kekal dalam Ligue 1 susulan kemenangan 1-0 ke atas Ajaccio untuk mencatat kemenangan agregat 4-0 dalam perlawanan play-off, awal pagi tadi.


Jimmy Durmaz meledak gol pada minit ke-88 untuk mengesahkan kemenangan dalam aksi timbal balik itu untuk memastikan pasukan yang diasuh Mickael Debeve itu kekal dalam saingan tertinggi Perancis buat musim ke-15 berturut-turut.

Kekalahan 3-0 dalam perlawanan pertama Rabu lalu menyaksikan Ajaccio berdepan laluan berliku dan mereka kelihatan langsung tidak memberikan ancaman di Stadium Municipal apabila hanya mampu melancarkan satu percubaan tepat dalam perlawanan tersebut.

Perlawanan kelihatan hampir berakhir tanpa gol sebelum Durmaz menyambut sepakan penjuru pendek Corentin Jean di dalam kawasan penalti lalu menyudahkannya dengan kaki kiri.

Ajaccio, yang menamatkan saingan lima mata di luar zon promosi automatik, terpaksa akur untuk bermain dalam Ligue 2 buat musim kelima sejak tersingkir pada 2014.