Antonio Conte kini disahkan selaku pengurus baru Tottenham Hotspur selepas bersetuju dengan kontrak sehingga musim panas 2023 sekaligus menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat kelmarin.

Kehadiran Conte – yang pernah mengungguli pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea serta menjulang trofi Serie A bersama Juventus dan Inter Milan sebelum ini – dilihat mampu memulihkan moral Tottenham yang kini mencatat lima kemenangan dan lima kekalahan termasuk tunduk 3-0 di tangan Manchester United di laman sendiri, hujung minggu lalu.

Namun, berdasarkan percaturan, pendekatan serta pencapaian yang diraih pengendali dari Itali itu sebelum ini, beberapa perkara mungkin boleh dijangka atau sekurang-kurangnya mengembalikan senyuman dalam kalangan peminat The Lilywhites.

Tiga pertahanan tengah

Sewaktu Conte meraih gelaran juara liga di England bagi musim 2016-17, dia mempertaruhkan tiga bek tengah iaitu Cesar Azpilicueta, David Luiz dan Gary Cahill. Begitu juga apabila dia menamatkan dominasi Juventus bersama Nerrazzurri pada musim lalu dengan mempertaruhkan Stefan De Vrij, Milan Skriniar serta pertahanan berusia 22 tahun, Alessandro Bastoni.






Melihat kepada pilihan yang dimiliki di Tottenham ketika ini, Conte pastinya mula mencongak dua nama untuk dipilih melalui Eric Dier, Davinson Sanchez, Japhet Tanganga dan Joe Rodon untuk digandingkan dengan bekas tonggak pertahanan Atalanta, Cristian Romero.

Sentuhan pemusnah Kane, Heung-Min

Pemenang kasut emas EPL musim lalu, Harry Kane, melalui tempoh suram di bawah kendalian Santo. Biarpun hanya terlepas satu perlawanan dan lapan kali berada dalam kesebelasan utama, kapten skuad kebangsaan England itu hanya mampu meledakkan satu gol setakat ini. Paling memeritkan, dia hanya mencatat satu percubaan ketika menentang United dan usaha tunggal itu sempat dihalang sebelum menguji David de Gea di pintu gol.





Namun, kehadiran Conte pasti membawa sinar. Sewaktu Conte tiba di Inter, dua tugas paling mencabar buatnya adalah membawa Nerrazzurri ke puncak liga serta menggunakan sebaiknya kelibat Lautaro Martinez dan Romelu Lukaku. Dua musim dibimbing Conte, gandingan itu jelas menunjukkan impak besar apabila meledakkan 78 gol di pentas Serie A.

Melihat kepada keberkesanan Kane dan Son Heung-Min sewaktu di bawah bimbingan Mauricio Pochettino, tidak mustahil sentuhan pemusnah itu mampu diulangi, kali ini bersama Conte atau nama panggilan yang pernah disebut Leonardo Bonucci, The Godfather.


Peranan baru Hojbjerg

Tidak kira sama ada sewaktu di Juventus, Inter Milan atau Chelsea, Conte sering dilihat mempertaruhkan seorang pemain yang memiliki kemampuan mengolah corak permainan dari organisasi paling bawah di bahagian tengah.

Contoh terdekat adalah Andrea Pirlo, Marcelo Brozovic dan Cesc Fabregas. Ironinya, peranan sama digalas oleh Pierre-Emile Hojbjerg sewaktu membawa cabaran Denmark mara ke separuh akhir EURO 2020, Julai lalu. Malah, dia memperkuatkan pasukan terbaik kejohanan dalam saingan tersebut.






Situasi ini bermakna Conte bukan sahaja boleh mengharapkan kreativiti daripada pemain seperti Giovani Lo Celso, Tanguy Ndombele dan Dele Alli, malah dia juga boleh meletakkan harapan terhadap Hojbjerg yang sebelum ini hanya dilabel sebagai pelindung buat pertahanan berbanding mencipta peluang jaringan.