Tottenham mencapai kesepakatan untuk menandatangani penyerang, Carlos Vinicius, daripada Benfica sehingga penghujung musim ini, demikian disahkan kelab gergasi Portugal berkenaan.

Pinjaman itu melibatkan bayaran pendahuluan bernilai £2.7 juta (Rm14.4 juta) dengan pilihan pembelian secara tetap dengan yuran £41 juta (RM219.3 juta) dan jumlah yuran pinjaman berkenaan akan ditolak sekiranya perpindahan tetap itu dipersetujui.

Tottenham terdesak untuk mendapatkan penyerang baru sebagai pemain sokongan kepada bintang mereka, Harry Kane, dan turut dikaitkan untuk mendapatkan pemain Napoli, Arkadiusz Milik, dan kapten Torino, Andrea Belotti.

Tumpuan skuad kendalian Jose Mourinho itu kemudian beralih kepada pemain Brazil, Carlos Vinicius, yang menyertai Benfica daripada pasukan Serie A, Napoli, tahun lalu.

Carlos Vinicius menjaringkan 18 gol daripada 32 penampilan Primeira Liga musim lalu dan secara keseluruhan telah menghasilkan 22 jaringan dalam kesemua kejohanan.

Pemain berusia 25 tahun itu menamatkan liga musim 2019-20 -- di mana Benfica menamatkan saingan selaku naib juara di belakang Porto -- sebagai penjaring terbanyak di samping rakan sepasukannya, Pizzi, dan pemain Rio Ave, Mehdi Taremi.

Tottenham layak ke peringkat kumpulan Liga Europa selepas menewaskan Maccabi Haifa 7-2 di London awal pagi tadi dan sedang berada di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dengan mengumpulkan empat mata dan ketinggalan lima mata daripada kelompok atasan.

Ia bukanlah kali pertama Spurs meminjam pemain daripada Benfica memandangkan Gedson Fernandes turut didatangkan secara pinjaman 18 bulan daripada pasukan Portugal itu.