Tottenham lebih besar daripada City -- Pochettino


Januari 20, 2017 20:39 MYT

Mauricio Pochettino percaya Tottenham merupakan kelab yang jauh lebih besar daripada Manchester City menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu hari ini.

Spurs sekali lagi dalam perlumbaan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris, menduduki tangga kedua liga dan tujuh mata di belakang Chelsea manakala City jatuh ke kedudukan kelima.
Pochettino dan pengendali City, Pep Guardiola, beberapa kali berdepan antara satu sama lain dalam LaLiga apabila Espanyol turun bertemu Barcelona.
Namun, pengendali Argentina itu berasakan senario di England cukup berbeza apabila berasakan Spurs merupakan pasukan yang lebih besar.
"Di Sepanyol, jurang di antara Espanyol dan Barcelona teramat besar tetapi kini di England, mengikut sejarah Tottenham merupakan pasukan yang lebih besar berbanding City. Kami juga memiliki jumlah penyokong yang ramai," ujar Pochettino.
"Dalam LaLiga, mudah untuk mengukur jurang di antara Espanyol dan Barcelona tetapi di sini amat sukar."
Sementara itu, Guardiola terus dikecam susulan City masih bergelut di England, apatah lagi dibelasah 4-0 oleh Everton minggu lalu.
Bagaimanapun, Pochettino berasakan bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu tidak perlu membuktikan apa-apa tatkala sudah pun melakukannya sebelum ini.
"Tewas kepada Everton tidak akan membawa kesan apa-apa kepada City. Saya masih memandang tinggi terhadap Guardiola. Kalah menang adat pertandingan," jelasnya.
"Dia hanya perlukan masa. City masih mampu merebut kejuaraan, hanya masa yang akan menentukan."