CHELSEA 2 TOTTENHAM HOTSPUR 0

Antonio Conte menganggap Tottenham ketinggalan bertahun-tahun untuk menyamai tahap Chelsea selepas tewas 0-2 kepada pasukan itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Jaringan Hakim Ziyech dan Thiago Silva membuatkan Spurs berdepan kekalahan keempat di tangan seteru London mereka sepanjang musim ini.

Pasukan bimbingan Conte itu tewas kepada Chelsea dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dan mereka kini telah melalui enam perlawanan berturut-turut tanpa dapat membolosi gawang pasukan juara Eropah itu -- kali pertama dalam sejarah mereka.

Conte sebelum ini sudah beberapa kali berkata bahawa Spurs perlu memperkuatkan pasukan mereka jika berharap dapat mencabar pasukan utama walaupun berhasil membawa pasukan itu melalui sembilan perlawanan liga tanpa kalah selepas mengambil alih tugas Nuno Espirito Santo.

Selepas kekalahan terbaru kepada Chelsea, yang menyukarkan peluang mereka untuk ke kelompok empat teratas, bekas jurulatih Inter Milan itu berasakan mereka memerlukan banyak jendela perpindahan untuk membina sebuah skuad yang berdaya saing.

"Saya tidak suka kalah. Untuk memberikan ulasan mengenai satu kekalahan sentiasa sukar buat saya," katanya kepada Sky Sports.

"Tetapi untuk mendapatkan sembilan perlawanan tanpa kalah merupakan sesuatu yang penting dan buat masa ini, jurang dengan pasukan lain seperti Chelsea merupakan sesuatu yang penting.

"Saya bangga dengan usaha pemain saya. Kami mencuba melakukan segala-galanya tetapi adakalanya ia tidak mencukupi, terutama apabila anda menghadapi pasukan seperti ini: kesebelasan utama dengan pemain yang amat kuat; di bangku simpanan, di sekeliling kelab juga terdapat pemain seperti itu.

"Terdapat jurang yang besar di antara kami dan pasukan utama lain," katanya.


Ditanya mengenai usaha memperkuatkan pasukannya menjelang tarikh tutup jendela perpindahan bulan ini, Conte berkata: "Saya ulanginya lagi, ini bukan waktu yang sesuai. Kelab ini amat menyedari apa yang saya fikirkan. Satu jendela perpindahan tidak akan mengecilkan jurang itu.

"Sepanjang lima tahun terakhir, jurang ini telah menjadi amat-amat besar. Kini, bukan mudah untuk mencari penyelesaian dalam waktu singkat.

"Saya hanya fokus untuk memperbetulkan pemain. Kami mempunyai empat bulan untuk memberikan segala-galanya tetapi jika kita fikir kami boleh menyelesaikan masalah itu dengan perpindahan pemain, itu bukan realitinya.

"Kami memerlukan bertahun-tahun. Sudah pasti kami perlu bermula dan ada titik permulaannya.

"Selama bertahun-tahun, kualiti kelab ini telah berkurangan dan tidak meningkat," katanya lagi.